Berita

Pembinaan perumahan sasar, RKAT dirancang diperluas – Mohamad

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 9 November 2023 7:30 AM MYT

PERUMAHAN Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), yang sebelum ini dibina di Lembah Klang bakal diperluaskan di beberapa bandar raya lain, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau bagaimanapun berkata perkara itu perlu mendapat pandangan daripada Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan terdapat tanah-tanah di dalam markas tentera di bandar raya berkenaan yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya melihat ada tanah kosong terus kita bina (rumah tentera dalam Markas ATM dan kem tentera).

“Sebaliknya, kami akan mendapatkan pandangan Markas ATM sama ada tanah-tanah ini ada keperluan untuk membesarkan markas atau kem-kem yang berhampiran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian projek SASar ATM di Kem Wardieburn, Setapak, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohamad berkata antara bandar raya yang dilihat ialah di Pulau Pinang, Kota Bharu di Kelantan, Ipoh di Perak, Johor di Johor Bahru dan Seremban di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Mohamad berkata kos pembinaan bagi perumahan SASaR Wardieburn dan Setapak yang menelan belanja RM2.4 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh pemaju Platinum Victory Development Sdn Bhd, dan projek itu dijangka siap secara berfasa mulai 2026.

“Pembinaan SASaR ATM ini adalah berdasarkan konsep subsidi bersilang…Ini bermakna, kerajaan menyediakan tanah kepada pemaju untuk membina rumah di bawah harga pasaran,” katanya.

Mohamad berkata perumahan SASaR boleh dijual selepas tempoh 10 tahun pembelian dan hanya kepada anggota tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

“Perumahan SASaR diberi 80 peratus untuk tentera, 15 peratus veteran ATM dan selebihnya untuk (petugas) awam Kementerian Pertahanan…dalam tempoh 10 tahun itu mereka tidak boleh jual mahupun menyewakannnya,” katanya.

Sejumlah 7,374 unit perumahan SASaR ATM akan dibina di Wardieburn dan Setapak bagi memberi peluang kepada anggota dan veteran ATM serta warga kerja Kementerian Pertahanan memiliki rumah yang selesa serta mampu membentuk satu ekosistem kekeluargaan yang berupaya menawarkan kehidupan bermutu dan bermaruah.

Mohamad turut menyarankan warga Kementerian Pertahanan untuk membuat permohonan bagi pembelian unit perumahan SASaR yang dibuka hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas