Berita

Pelajar sebak terima bantuan YWP

IBU kepada salah seorang pelajar, Nur Syuhadah Bahrim menerima Skim Bantuan Awal IPT daripada Pengurus Besar Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama, Teknologi (PESAT), Zahrulail Abdul Rahman di Wisma YWP, pada Rabu.
- Diterbit 12 Mei 2023 6:41 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited membantu pelajar yang kurang berkemampuan menerusi Skim Bantuan Awal IPT bagi meringankan beban mereka sebelum melangkah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Terbaharu, empat orang pelajar terpilih teruja menerima bantuan kewangan secara one-off yang disifatkan amat membantu mereka untuk membiayai kos persiapan kemasukan ke IPT.

Menurut salah seorang penerima bantuan, Nur Syuhadah Bahrim, 20, bantuan yang diperoleh tersebut turut meringankan beban yang ditanggung oleh ibunya.

“Setelah ayah meninggal dunia, semua tanggungan termasuk urusan harian kami adik-beradik diuruskan oleh ibu. Bila pihak YWP beritahu saya terpilih untuk menerima skim ini, saya bersyukur, sebak dan gembira.

“Kewangan adalah masalah utama bagi setiap pelajar IPT yang kurang berkemampuan, jadi saya ingin berterima kasih kepada YWP kerana prihatin dengan pelajar di Wilayah Persekutuan,” katanya yang mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Syariah Islamiah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIC).

Sementara itu, Nurul Hasya Husni, 22, pula berkata bantuan ini akan digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran seperti buku dan barangan keperluan asas harian di universiti.

Alhamdulillah syukur, Insya-Allah bantuan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk kegunaan pengajian saya,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor ini.

Terdahulu, Skim Bantuan Awal IPT adalah bantuan kewangan di bawah inisiatif YWP untuk anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke Insititusi Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/IPTS). -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas