Artikel

PEDi Felda Soeharto sedia platform transformasi perniagaan, sasar lahir 300 usahawan aktif

PEDi Felda Soeharto menumpukan aspek pemerkasaan ekonomi digital dalam kalangan usahawan komuniti dan pelajar sekolah.
- Diterbit 1 Disember 2023 2:45 AM MYT

CABARAN ekonomi pada masa kini memerlukan sikap yang kreatif dan budaya inovasi dalam mempelbagaikan sumber pendapatan khususnya dalam mengatasi masalah kemiskinan bandar dan luar bandar.

Dalam mengatasi masalah tersebut, penubuhan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di sekitar kawasan bandar dan luar bandar dilihat antara usaha kerajaan dalam merapatkan jurang literasi digital sekali gus melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

PEDi Felda Soeharto yang terletak di Kuala Kubu Bahru, Selangor merupakan antara PEDi luar bandar yang telah berjaya menjalankan pelbagai aktiviti dengan menumpukan terhadap pemerkasaan ekonomi digital dalam kalangan masyarakat setempat termasuk menyediakan latihan dan bimbingan kepada murid-murid sekolah menerusi sesi e-pembelajaran.

Pengurus PEDi Felda Soeharto, Rossyafira Muhamad berkata penerimaan komuniti setempat terhadap perkhidmatan yang diberikan terutama melibatkan kursus latihan keusahawanan serta program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat menggalakkan.

ROSSYAFIRA

“Fokus utama kita adalah memberikan latihan insentif dan perkhidmatan berlebihan mengikut kesesuaian golongan kerana di sini, kita tidak hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja malah semua pelbagai lapisan umur di mana setiap daripada mereka mempunyai kemahiran yang berbeza-beza.

“Antara program yang dilaksanakan adalah latihan e-commerce khusus untuk usahawan dan didedahkan kaedah pemasaran di platform-platform media sosial seperti Lazada, TikTok, Instagram, Shopee dan sebagainya. Selain itu kita juga turut memberi ruang kepada para usahawan untuk memasarkan produk jualan mereka kepada komuniti setempat menerusi pelbagai program jualan yang disediakan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Rossyafira berkata sehingga kini PEDi Felda Soeharto merekodkan seramai 147 usahawan aktif yang memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan di kawasan ini.

“Peranan PEDi cukup penting kepada masyarakat iaitu sebagai penggerak agen transformasi daripada perkhidmatan pasaran secara tradisional ke arah pendigitalan yang berinovatif.

Jadi kita fokus kepada kaedah baharu untuk meningkatkan ekonomi warga Felda Soeharto ini.

“Selain itu di PEDi ini, kita perlu sentiasa memberi kesedaran tentang kisah-kisah kejayaan bagi mengubah pemikiran masyarakat supaya berkembang dengan lebih pesat terutama melibatkan perkhidmatan berkaitan pemasaran digital,” ujarnya.

Menurut Rossyafira, pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 300 usahawan aktif yang akan mengikuti program keusahawanan yang disediakan di PEDi menjelang tahun 2024.

“Saya berharap kepada seluruh komuniti sekitar Felda Soeharto ini memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuklah para usahawan untuk mendapatkan pelbagai latihan dan bimbangan melibatkan keusahawanan secara digital,” jelasnya.

Menurut rekod sehingga Jun lalu, sebanyak 27,963 usahawan aktif PEDi direkodkan di seluruh negara dan menyertai pelbagai program keusahawanan yang dijalankan.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan PEDi untuk membantu masyarakat setempat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas