Artikel

Latihan keusahawanan PEDi ubah nasib Siti Aisyah

- Diterbit 1 Disember 2023 2:50 AM MYT

SEJAK menceburi perniagaan jualan bunga tujuh tahun lalu, pemilik jenama Mama Ecah Surprise Delivery Florist Gift, Siti Aisyah Mat Zain pernah memperolehi pendapatan hanya RM150 sahaja.

Setelah menyertai latihan keusahawanan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Soeharto, pendapatan perniagaannya kini mampu mencecah sehingga RM2,500 sebulan sekali gus membuktikan kualiti program pembangunan usahawan yang mampu mengubah nasib peserta.

Siti Aisyah berkata beliau tidak menyangka setelah berkat usaha dan tunjuk ajar tenaga menerusi program keusahawanan itu mampu mengembangkan perniagaannya selain turut menguasai pasaran ­­e-dagang dan memberi pemahaman tentang ekonomi digital.

“Dulu, saya tidak tahu bagaimana cara hendak memasarkan produk ini kepada orang ramai, nak keluar buat iklan atau promosi pun saya tidak tahu dan tidak yakin.

“Namun, sejak saya mengikuti latihan di PEDi, kini saya lebih yakin dan banyak ilmu yang diperolehi terutama bagaimana cara hendak memasarkan produk secara meluas dan teknik yang perlu digunakan untuk memasarkan produk kepada pelanggan dan pelbagai lagi,” katanya.

Ujarnya, banyak perubahan yang dapat dilihat terhadap dirinya terutama melibatkan kemahiran dalam menguruskan perniagaan dan melakukan pemasaran dalam talian.

“Ia bukan sahaja pada keuntungan atau hasil jualan, malah saya lebih yakin untuk berkongsi dengan orang ramai tentang perniagaan saya selain sudah mampu menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran terutama berkaitan ekonomi digital,” katanya.

Siti Aisyah yang menyimpan impian untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk memiliki kedai menjual gubahan hadiah pada masa depan menyeru agar orang ramai khususnya usahawan di Felda Soeharto untuk terlibat dalam kursus latihan dan bimbingan dengan menyertai program keusahawanan yang disediakan di PEDi berkenaan.

“Pada awal perniagaan, hasilnya tidak memberangsangkan apatah lagi saya tinggal di luar bandar dan tidak tahu cara untuk memasarkan produk dengan berkesan. Setelah menyertai latihan dan program keusahawanan, ia memberi kesan besar untuk saya yang memang tiada pengetahuan dengan ekonomi digital.

“Justeru itu, saya berharap usahawan di luar sana buang rasa malu untuk datang ke PEDi ini kerana kakitangan di sini sentiasa membantu dan tidak lokek berkongsi ilmu.

“Ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan dan sekali gus menambah pendapatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas