Berita

PDRM gerakkan 144 aset, 750 anggota bantu lima negeri terjejas banjir

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 29 Disember 2023 12:35 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia telah menggerakkan 750 anggota dan 144 aset bagi membantu operasi di lima negeri yang terjejas dengan banjir, setakat semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata daripada 144 aset yang digerakkan itu, 47 daripadanya adalah bot, 32 lori, 59 kenderaan pacuan empat roda serta enam ambulans dan van.

Lima negeri berkenaan adalah Terengganu, Kelantan, Johor, Pahang dan Sabah.

“Setakat ini semua aset berkenaan berada dalam keadaan baik, tidak ditenggelami banjir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang tidak banyak berubah pada pagi ini.

Ia menyaksikan penurunan kepada 23,008 orang berbanding 23,011 mangsa tengah malam tadi, yang ditempatkan di 103 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, banjir di Sabah pulih sepenuhnya dengan kumpulan terakhir enam mangsa daripada tiga keluarga di daerah Paitan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas