Berita

Parlimen kemuka cadangan adakan sidang khas sebelum 1 Ogos

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 30 Jun 2021 6:55 AM MYT

PERSIDANGAN khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan majlis menghadap semalam.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menghadap berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Majlis itu turut dihadiri timbalan-timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” menurut kenyataan itu. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas