Berita

Tiga dasar reformasi lonjak ekonomi negara

- Diterbit 8 April 2024 12:38 PM MYT

MEMIKUL tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Subang bukan satu perkara yang mudah namun sepanjang 12 tahun di sana, Wong Chen mampu menarik nafas lega apabila dapat melihat banyak perubahan ke arah lebih baik dari semua segi.

Bukan sahaja diberi kepercayaan oleh penduduk Subang bahkan figura hebat ini juga diberi amanah untuk menggalas jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Venture Berhad (MDV).

Sebagai ahli politik yang berhala reformasi, Wong Chen berharap kerajaan melaksanakan tiga dasar reformasi utama yang akan membantu melonjakkan semula ekonomi Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut pandangan-pandangan bernas serta pengalaman beliau, ikuti temu bual eksklusif bersama wartawan Wilayahku, DIANA AMIR dan SABRINA SABRE serta jurufoto HASIF HALIMI untuk kolum YB minggu ini.

Apakah cabaran utama yang dihadapi dalam kawasan Parlimen Subang terutama selepas YB menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintahan di peringkat pusat?

Ini merupakan penggal ketiga buat saya di mana penggal pertama dahulu namanya adalah Kelana Jaya merangkumi kawasan Kelana Jaya dan Subang Jaya namun memasuki penggal kedua kawasan saya telah dibahagi dua. Cabaran untuk dua kawasan tersebut sama kerana terdapat banyak golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

enduduk ingat kerja sebagai Ahli Parlimen untuk jaga longkang, jalan, pokok dan sebagainya namun hakikatnya kita tidak tumpukan kepada kes-kes tempatan seperti itu. Itu semua adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri. Pada permulaannya, untuk fahamkan komuniti setempat agak sukar namun sepanjang 12 tahun di sana terdapat perubahan yang jelas.

Menerusi program-program serta penglibatan yang kita lakukan bersama masyarakat, mereka memahami bidang tugas sebenar Ahli Parlimen dan kita lebih dirujuk untuk kes-kes seperti kewarganegaraan, rasuah dan sebagainya. Apabila mereka mula faham, ia memudahkan tugas saya dan boleh fokus kepada isu yang lebih serius dan penting berkaitan dasar-dasar yang perlu.

Selain itu, cabaran masa mula-mula dahulu adalah kita sebagai pihak pembangkang sukar untuk dapatkan dana dan apabila tiada dana, maka tiadalah peruntukan untuk menganjurkan program-program yang perlu. Di bawah Kerajaan MADANI ini, saya harapkan ada perubahan atau solusi yang baik bagi menangani isu ini.

Adakah wajar sesebuah kawasan Parlimen mempunyai bilangan pengundi yang ramai dirombak atau ditambah satu kawasan Parlimen baharu supaya ketidakseimbangan bilangan pengundi satu-satu kawasan Parlimen tidak berlaku?

Saya rasa perkara tersebut adalah penting tetapi ia memerlukan pindaan pada perlembagaan negara kerana ada satu klausa di mana saiz satu-satu kawasan itu ada had tersendiri.

Walau bagaimanapun, isu ini harus dikaji oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan perlu buat persempadanan semula kerana ia tidak adil sebagai contoh kawasan saya mempunyai lebih kurang 230,000 pengundi namun di kawasan lain kira-kira 50,000 ke 70,000 sahaja tambahan pula peruntukan yang diberi untuk setiap kawasan adalah sama jadi ia satu kerugian untuk penduduk di kawasan Subang kerana disebabkan penduduk yang ramai membuatkan bantuan yang diterima juga adalah sedikit berbanding kawasan lain.

Adalah satu keperluan untuk lihat balik isu ini namun saya difahamkan bahawa ia bukanlah satu keutamaan untuk Kerajaan MADANI ketika ini dan diharapkan ia dapat diubah sebelum pilhan raya akan datang.

Sejak dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Venture Berhad (MDV), boleh YB kongsikan apakah peranan dan fungsi MDV dalam membantu kerajaan sekarang?

Sekarang bulan kesembilan saya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif MDV dan sebagai ahli politik yang berhala reformasi, satu-satunya reformasi yang paling penting dalam sistem badan berkanun seperti MDV adalah dengan memastikan sebagai pengerusi saya tidak menyalahgunakan kuasa serta tidak masuk campur mengenai bahagian eksekutif.

Saya akan pengerusikan Mesyuarat Lembaga tetapi saya takkan sertai mesyuarat sub-ko. Dengan sistem ini juga ia membantu mengelakkan timbulnya konflik kepentingan dan saya rasa pihak korporat tertinggi seperti COO dan sebagainya lebih selesa kerana mereka boleh melakukan kerja secara profesional.

Diharapkan selepas tahun pertama ini, saya dapat melihat laporan atau hasil yang baik daripada MDV khususnya dari segi prestasi kewangan.

YB antara Ahli Parlimen sebelum ini yang agak kritikal dalam isu ekonomi serta kewangan negara, apakah perubahan ketara model ekonomi kerajaan sebelum ini dengan model dan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan kini?

Kita kena tahu bahawa ini bukanlah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi ia Kerajaan MADANI di mana terdapat pelbagai model ekonomi daripada parti-parti politik yang berlainan.

Dalam setahun ini apa yang saya lihat, pihak kerajaan cuba untuk mencari dan mengguna pakai model ekonomi terbaik dalam memastikan Malaysia terus maju setanding negara lain. Kita sebagai back bencher ini perlu beri ruang dan peluang buat kerajaan untuk berdialog antara mereka mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun saya mengharapkan untuk kerajaan melaksanakan tiga dasar reformasi utama yang akan membantu melonjakkan semula ekonomi Malaysia di mana yang pertama adalah pengisytiharan aset. Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri sebelum ini bahawa beliau akan membawa perkara ini ke Kabinet dan akan diputuskan kelak serta akan menambah baik akta tersebut untuk lebih telus. Menerusi pengisytiharan aset ini juga ia membuatkan masyarakat tahu mengenai kedudukan kewangan seseorang Ahli Parlimen dan ia penting di mana banyak negara demokrasi lain juga mempratikkan amalan tersebut.

Kedua, kita mengharapkan agar Akta Perkhidmatan Parlimen diluluskan pada tahun ini bertujuan untuk memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif. Di bawah akta ini, ia membenarkan Parlimen bertindak sebagai badan yang benar-benar bebas bagi menjalankan hal ehwalnya sendiri termasuk memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaan.

Yang terakhir adalah melaksanakan Akta Pembiayaan Dana Politik dengan kadar segera untuk memastikan tiada ‘lohong gelung’ dalam usaha membanteras serta memangkas jenayah pengubahan wang haram di negara ini. Rasuah ini boleh berlaku secara individu ataupun parti politik.

Bagi saya kalau kita laksanakan tiga dasar reformasi ini ia akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi negara. Sekiranya ringgit stabil pastinya pelabur di luar sana tidak teragak-agak untuk menjalinkan kerjasama, apa saya boleh cakap negara kita mempunyai banyak perancangan namun mungkin ada ketirisan dari segi pelaksanaannya membuatkan kita masih berada di tahap yang sama. Untuk membaiki ekonomi negara semula, tiga dasar yang saya sebutkan tadi perlu diluluskan segera.

Bagaimana YB melihat dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan dan juga model Ekonomi MADANI boleh melonjakkan semula ekonomi negara dan mengurangkan defisit fiskal negara?

Untuk melonjakkan ekonomi, negara kena berbelanja. Perlu faham perbezaan antara berbelanja besar dengan berbelanja untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh ada Kampung A dan Kampung B di mana tengahnya adalah sungai dan untuk menghubungkannya perlu bina sebuah jambatan, jadi kita berbelanja bagi pembinaan jambatan tersebut sekali gus mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu.

Pada lima enam tahun akan datang pastinya ekonomi bergerak antara dua kampung ini di mana ia akan mendatangkan keuntungan semula kepada syarikat yang membina, apabila mereka ada keuntungan individu atau pihak inilah yang akan membayar cukai kepada kerajaan. Itulah sebabnya kita perlu berbelanja untuk menjana pertumbuhan ekonomi bagi mendapatkan semula keuntungan maka semua hutang akan terkawal.

Perbelanjaan tidak menjadi isu tetapi perbelanjaan yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi itu yang sepatutnya kita lakukan. Dia seperti pelaburan di mana kerajaan perlu membelanjakan wang untuk melabur pada infrastruktur yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi, bukan membeli perkara yang tidak berfaedah.

Berkenaan dengan kedudukan nilai mata wang ringgit yang agak rendah, apakah ia merupakan sementara dan bagaimanakah cara paling efektif untuk mengatasinya?

Sebenarnya rakyat dan syarikat kita banyak duit di luar negara. Jadi golongan ini yang perlu bawa balik duit tersebut dan beli ringgit atau labur dalam negara bagi mengukuhkan ringgit.

Bagi saya keadaan ini hanya sementara tetapi apa yang penting dalam isu mata wang adalah keyakinan. Kerajaan harus memainkan peranan untuk melakukan reformasi dan beri keyakinan terhadap pelabur dan paling penting keyakinan kepada orang-orang yang ada duit di luar negara itu untuk bawak balik duit mereka.

Sebagai contoh pada tahun 1997, kejatuhan kewangan sangat teruk tetapi di Korea semua rakyatnya bawa balik duit, serahkan cincin emas dan sebagainya untuk beri kepada kerajaan. Itulah semangat patriotisme yang kita mahu semua rakyat Malaysia terapkan iaitu rasa sayang akan negara.

Adakah Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada pada landasan yang betul?

Ya dan kita sebagai back bencher tidak tahu apa yang kerajaan rancangkan cuma saya yakin Ahli Parlimen tahu apa yang mereka perlu lakukan sekarang.

Saya harapkan tiga dasar reformasi seperti saya sebut tadi dapat dilaksanakan dalam tahun ini. Sekurang-kurangnya salah satu akta diluluskan dalam tahun ini sudah memadai. Kalau kita hapuskan rasuah dan sistem kroni, percayalah ekonomi akan bertambah baik, masalah ringgit juga akan selesai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas