Berita

Pakej baharu untuk pastikan kesinambungan reformasi politik di Kazakhstan

- Diterbit 29 Januari 2021 5:42 AM MYT

PELAKSANAAN pakej baharu reformasi politik – yang ketiga setakat ini – diperkenalkan kerajaan Kazakhstan, penting untuk memastikan kemajuan stabil dalam melindungi hak asasi manusia dan pembangunan masyarakat.

Kedutaan Kazakhstan di Malaysia berkata ia langkah penting untuk memperkasakan lagi perundangan dan demokrasi.

Menurut kedutaan, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev mengumumkan pakej itu pada sesi pembukaan Dewan Rakyat 15 Januari lalu.

“Inisiatif baharu Presiden itu untuk membangunkan lagi sistem politik Kazakhstan dan meningkatkan mekanisme perlindungan hak asasi manusia,” kata kedutaan dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Pakej itu menyasarkan sembilan inisiatif antaranya mengurangkan kerusi dimiliki parti  dari tujuh peratus kepada lima peratus, untuk meningkatkan persaingan politik dan memberi peluang kepada lebih banyak pihak menyertai Parlimen.

Menurut kedutaan lagi pakej baharu itu juga bertujuan mengesahkan institusi petisyen dalam talian dan menerima pakai undang-undang tambahan mengenai Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia.

“Undang-undang akan menyelaraskan kegiatan institusi ini di pelbagai bidang dan sektor. Presiden menekankan pentingnya terus meningkatkan perundangan di bidang perlindungan hak asasi manusia,” tambah kenyataan itu.

Peranan pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia juga akan terus diperkukuh.

Menurut kedutaan, pakej pembaharuan politik pertama Presiden Kazakhstan diperkenalkan pada Disember 2019 dan pelaksanaannya membuahkan hasil.

Ia termasuk mempermudah syarat pendaftaran untuk menubuhkan parti politik kepada 20,000 anggota dan memperkenalkan kuota 30 peratus wanita dan belia menjadi calon pilihan raya.

Pakej kedua diumum pada 1 September 2020. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas