Berita

Bantu usahawan kraft jana pendapatan menerusi E-Kraf Bazar

- Diterbit 29 Januari 2021 5:46 AM MYT

ORANG ramai diminta membantu usahawan kraft menjana pendapatan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19, dengan mendaftar keahlian di Facebook E-Kraf Bazar bagi memudahkan aktiviti jual-beli produk kraf tempatan secara dalam talian.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, media sosial ‘Facebook Group’ itu telah diwujudkan sejak 8 April tahun lepas dalam usaha perbadanan itu memperkasakan program digital dalam pelan pemulihan industri kraf.

“Sehingga kini, E-Kraf Bazar telah diikuti seramai hampir 15,000 anggota yang terdiri daripada kumpulan usahawan kraf, pelanggan serta peminat produk kraf tempatan,” kata kenyataan itu.

Kraftangan Malaysia menjelaskan selain aktiviti pemasaran produk kraf, orang ramai yang mendaftar di aplikasi media sosial itu turut berpeluang berinteraksi dan menonton aktiviti jualan serta demonstrasi kraf secara langsung.

“Mereka (anggota) juga boleh mendapat info-info terkini berkaitan industri kraf negara menerusi platform itu dan hadiah menarik turut disediakan untuk anggota yang ke 15,000,’’ katanya.

Sebelum ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia memperkenalkan inisiatif pemasaran E-Kraf Bazar di Facebook bagi membantu usahawan yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19, dan antara produk yang dipasarkan termasuk hasil rimba, seramik, logam dan aneka kraf. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas