Utama

Padah sebar berita palsu Coronavirus, lelaki 34 tahun ditahan

ANTARA berita palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab berkenaan kematian seorang wanita di sebuah pasar raya baru-baru ini.
- Diterbit 29 Januari 2020 3:16 AM MYT

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coranavirus (2019-nCov), semalam.

Suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada pukul 4 petang bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari manakala tiga lagi sedang giat dikesan.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, R. Kamalavacini berkata, turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut ke laman Facebook.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya.

“Suspek juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalavacini berkata, tindakan tegas tersebut adalah salah satu usaha SKMM dan PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai wabak Novel Coranavirus oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat kestabilan negara.

Tambah beliau, pada 27 Januari, SKMM bersama-sama PDRM mengeluarkan amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau bertia tidak sahih mengenai penularan Novel Coranavirus di Malaysia.

“Penyebaran khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas