Utama

TUDM tubuh Lembaga Penyiasatan kenal pasti punca kejadian

KEADAAN kenderaan tiga tan yang terbalik berikutan kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang-barang di kawasan Hutan Bukit Jugra, semalam.
- Diterbit 29 Januari 2020 4:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca insiden kemalangan melibatkan sebuah kenderaan tiga tan yang membawa pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara bersama jurulatih untuk persediaan fasa Latihan Medan, semalam.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan turut memaklumkan, seramai 24 PALAPES Udara dan tiga Jurulatih yang cedera dalam insiden tersebut dibenarkan keluar dari Hospital Banting dan Hospital Klang pada awal pagi ini.

Sementara itu, katanya, seorang Pegawai Kadet masih lagi meneruskan rawatan di Hospital Klang manakala tiga lagi di Hospital Banting.

“TUDM sentiasa memantau keperluan kebajikan mangsa yang masih menerima rawatan di hospital termasuk menyediakan penginapan untuk waris yang memerlukannya di Rejimen TUDM, Bukit Jugra,” katanya.

Tambah kenyataan itu, seluruh warga TUDM bersimpati atas kejadian yang berlaku dan mendoakan mangsa yang cedera kembali pulih sepenuhnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas