Berita

Tiga lagi disah positif Coronavirus- KKM

|
- Diterbit 29 Januari 2020 1:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan tiga kes positif baharu 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada malam semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan pada tahun ini adalah tujuh kes.

“Ia terdiri daripada tiga kes yang dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV dan empat kes yang sebelum ini dalam kalangan kontak rapat. Kesemuanya terdiri daripada warga China.

“Dua kes baharu jangkitan 2019-nCoV adalah dalam kalangan kes PUI iaitu seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah dan seorang lelaki berusia 52 tahun di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, dalam kalangan kontak rapat pula, menantu perempuan kepada kes 2019-nCoV pertama di Singapura (iaitu lelaki berumur 66 tahun) turut disahkan positif.

Jelas beliau, mangsa yang terdahulunya berstatus negatif telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif.

Katanya, ekoran itu, dari 10 Januari hingga semalam, jumlah kumulatif kes PUI bagi jangkitan 2019-nCoV adalah 78 orang yang mana 39 adalah warga tempatan, 36 warga China dan masing-masing satu warga Jordan, Brazil dan Thailand.

“Tiga kes disahkan positif 2019-nCoV, 74 adalah negatif 2019-nCoV dan satu kes masih menunggu keputusan makmal (Lampiran 1),” jelasnya.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seramai 25 orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV di Singapura (8 orang) dan di Johor (17 orang) dikenal pasti dan kesemua adalah warga China.

Terdahulu, tiga daripada kontak rapat kes di Singapura tersebut disahkan positif dan kini jumlahnya meningkat kepada empat orang.

Kesemua mereka dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil, manakala ujian makmal ke atas 21 kontak lain didapati negatif dan mereka dilepaskan daripada menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan.

Manakala kontak rapat bagi dua (2) kes jangkitan 2019-nCoV masih dalam siasatan (Lampiran 1). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas