Operasi nyah kuman digiatkan di Kampung Baru, semburan guna dron
PETUGAS melakukan semburan nyah kuman ke atas rumah penduduk di Kampung Baru, Kuala Lumpur pagi tadi. Gambar NAZIRUL ROSELAN

Operasi nyah kuman digiatkan di Kampung Baru, semburan guna dron

KUALA LUMPUR  –  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan gerakan disinfeksi di Kampung Baru pagi ini sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 di ibu kota yang telah mencatatkan sejumlah 396 kes positif sehingga semalam.

Operasi Sanitari Awam ini turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr.  Annuar Musa yang meninjau secara dekat tentang aspek keberkesanan operasi tersebut yang turut menampilkan penggunaan dron bagi melakukan kerja-kerja semburan nyah kuman.

Operasi yang bermula seawal pukul 9 pagi tadi disertai kira-kira 100 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (SW Corp)  dan Alam Flora Sdn. Bhd.

Tinjauan Wilayahku  mendapati agensi yang terlibat mengerahkan aset masing-masing dalam usaha membendung virus tersebut.

ANNUAR (kiri) meneliti dron yang digunakan dalam Operasi Sanitasi Awam di Kampung Baru pagi tadi.

Annuar berkata, DBKL akan mengkaji keberkesanan dron dalam proses disinfeksi di ibu kota sebagai satu pilihan untuk penambahan aset pada masa akan datang.

“Sebelum ini kita sudah pelbagai aset seperti kenderaan on foot, vehicle mounted equipment dan kenderaan yang lebih besar dalam menjalankan operasi seperti ini.

“Ada kawasan yang lebih besar untuk disegerakan bagi melaksanakan proses ini dan kita lihat dron sebagai pilihan,” katanya kepada pemberita dalam Operasi Sanitasi Awam menggunakan dron di Stesen LRT Kampung Baru di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Annuar berkata, DBKL akan meneruskan Operasi Sanitasi Awam ini di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19.

“DBKL akan melaksanakan proses ini setiap hari dan kita akan mendahulukan kawasan-kawasan yang dianggap sebagai Zon Merah atas nasihat Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Dalam operasi itu, semua agensi yang terlibat memenuhi segenap kawasan tersebut dan membuat semburan disinfeksi hingga ke kawasan perumahan penduduk.

Dalam pada itu, kawasan Flat PKNS di Kampung Baru dianggap sebagai spot epicentre jangkitan lantaran telah mencatatkan beberapa kes positif Covid-19. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS