Berita

Op Ambang Tahun Baharu: 84 individu ditahan, lebih 6,000 saman dikeluarkan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 3 Januari 2024 9:50 PM MYT

SEBANYAK 84 individu ditahan dan 6,297 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dalam 137 operasi ambang tahun baharu di seluruh negara pada 31 Disember hingga 1 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata daripada jumlah itu 52 individu disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 24 ditahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan lapan lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan, kesalahan tidak memaparkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi merekodkan paling tinggi dengan 1,788 saman selain kesalahan tidak memiliki lesen memandu sebanyak 1,422 saman.

“Operasi yang berakhir pada 5 pagi itu turut menyita 366 kenderaan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Operasi tersebut melibatkan 4,378 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas