Berita

Nur Ramadan erat silaturahim warga Wilayah Persekutuan

SHAHIDAN berucap di Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2022, peringkat Parlimen Lembah Pantai yang turut diisi dengan tazkirah ilmu agama.
- Diterbit 22 April 2022 2:30 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berharap hubungan silaturahim dapat diperkukuhkan terutamanya dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan (WP) menerusi Program Nur Ramadan.

Beliau berkata program tersebut dijalankan sepanjang Ramadan bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan di samping memperkukuh interaksi antara pihak kerajaan dan rakyat.

“Diharapkan program ini dapat mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap insan.

“Agama Islam mengajak manusia supaya bersatu-padu, berkeluarga serta mengukuhkan hubungan silaturahim supaya Wilayah Persekutuan terus maju dan sejahtera dalam keadaan aman dan damai selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani. Jelasnya sehingga kini seramai 2,500 individu di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah menerima sumbangan menerusi program tersebut yang melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.

“Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut menyumbang wang tunai RM519,500 kepada 824 masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh WP bagi mengimarahkan suasana Ramadan,” ujarnya.

Tambahnya penganjuran Program Nur Ramadan ini dilaksanakan hasil kerjasama strategik di antara KWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan dan McDonald’s Malaysia.

“Di Parlimen Lembah Pantai, seramai 145 penerima sumbangan terdiri anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta mereka kurang berkemampuan dan menerima bantuan wang tunai berjumlah RM200 seorang melalui peruntukan Tabung Amanah KWP dan Baitulmal KWP.

“Penerima turut memperoleh sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma,” katanya.

Sepanjang penganjuran Program Nur Ramadan, McDonald’s Malaysia turut menaja makanan moreh kepada kira-kira 8,000 orang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas