Berita

Rasai sendiri pengalaman ‘Raya di Dusun Atuk’ di Suria KLCC

KONSEP Rumah Melayu Melaka di Suria KLCC menekankan sentuhan dekorasi
- Diterbit 22 April 2022 2:28 AM MYT

JIKA mahukan suasana raya lebih awal, apa kata jom ke Suria KLCC. Di sana anda akan dapat menikmati keindahan lebaran serta keunikan tema ‘Raya di Dusun Atuk’ bertempat di Centre Court pusat membeli-belah tersebut.

Gubahan hebat yang direka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tersebut berlangsung sehingga 8 Mei ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Bhd, Md Shah Mahmood, dekorasi yang ditampilkan merupakan antara usaha Kumpulan Syarikat Suria KLCC bagi mengalu-alukan ketibaan Syawal.

“Ia direka untuk menyantuni semangat Ramadan dan Syawal yang kini boleh disambut dalam skala besar berbanding dua tahun lalu berikutan ancaman wabak COVID-19.

“Bersesuaian dengan sambutan perayaan yang akan tiba, sebuah replika rumah kampung tradisional berinspirasikan ‘Rumah Melayu Melaka’ memaparkan keindahan dan kepelbagaian motif berwarna-warni ditemani hiasan pelbagai pokok buah-buahan dan cahaya pelita,” katanya.

Ujarnya lagi, suasana hiasan dusun turut mempamerkan pangkin di mana pengunjung boleh menikmati peluang bergambar dengan latar belakang nostalgia yang dilengkapi sebuah Proton Saga lama  bagi mengimbau kembali memori pulang ke kampung dengan menaiki kereta atuk.

“Para pengunjung turut berpeluang untuk menikmati saat gembira kekeluargaan di sudut ‘Family Potrait’ yang mana pengunjung boleh bergambar bersama keluarga dan mendapatkan kepingan gambar fizikal berserta salinan digital secara percuma untuk dimuat naik di media sosial.

“Tidak ketinggalan juga para pengunjung akan diberikan ganjaran apabila berbelanja lebih dari RM1,500 melalui dua resit di mana-mana kedai terpilih sehingga 1 Mei dan berpeluang untuk menerima baucar membeli-belah di Suria KLCC yang bernilai RM100 serta satu pek sampul raya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, pameran gah Replika Lampu Pelita yang terbesar di Malaysia turut dipamerkan di Esplanade KLCC.

“Seperti yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records 2022, Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia dengan ketinggian 17 meter dan 12 meter lebar adalah usaha kami dalam menyemarakkan keriangan Ramadan dan Syawal di kota raya ini.

Dalam pada itu, tema Dusun Atuk turut diperkenalkan di Pusat Beli-Belah Alamanda, Putrajaya sementara di Pusat Beli-Belah Mesra, Kemaman turut diadakan aktiviti ‘Miss Little Kebaya‘. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas