Berita

NGO KL bantu Orang Asli di Rompin

||||
- Diterbit 12 Januari 2021 10:19 AM MYT

DEMI kelangsungan hidup golongan yang serba kekurangan dan memerlukan, mendorong sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur, sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer untuk menyalurkan bantuan.

Inisiatif diusahakan Helping Shoulder membantu masyarakat orang Asli di Rompin, Pahang yang terputus hubungan dan bekalan makanan akibat bencana banjir yang melanda ketika ini, wajarlah dicontohi oleh pelbagai pihak.

Bagi Presidennya, Lila Ruzaini Mohd Hussain, usaha membantu mereka yang terperangkap itu diambil atas pertimbangan keperluan mendesak dihadapi mangsa ketika ini yang menjalani rutin hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Kami sediakan bekalan makanan dan keperluan alatan untuk lebih 200 keluarga orang Asli di sini, demi membolehkan mereka teruskan hidup sama seperti insan lain walaupun dalam keadaan banjir yang melanda kawasan sekelilingnya.

“Pada kesempatan yang ada, Helping Shoulder turut memberi penerangan tentang isu pedofilia kepada masyarakat di sini di samping mengagih patung teddy bear sebagai simbolik kasih sayang sesama insan,” katanya kepada Wilayahku.

Sekumpulan sukarelawan diketuai Lila sendiri, sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 150km sebelum menggunakan sampan untuk sampai ke lokasi perkampungan itu yang terletak jauh di kawasan pedalaman Rompin.

Katanya, semoga dengan bantuan yang diberikan dapat menampung keperluan bekalan kalangan mangsa yang rata-ratanya adalah golongan tani yang hidup daif dan serba kekurangan.

“Saya dan pasukan sukarelawan terharu melihat kehidupan mereka yang sangat susah serta tidak mempunyai kelengkapan mencukupi. Malah ada anak-anak kecilnya seperti kekurangan makanan dan protein.

“Jadi, apabila berjaya menyerah sumbangan tidak seberapa ini, membuatkan kami puas dan terharu kerana semua penerima sangat menghargainya dan mengalu-alukan kami dengan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk tempat menginap makan dan minum serta lain-lain walau mereka sendiri pun sebenarnya tidak mencukupi,” ujarnya dalam nada terharu.

Lila turut menggesa semua pihak sama ada dari agensi kerajaan mahupun swasta berikan fokus kepada usaha membantu golongan memerlukan yang hidup terasing di pedalaman untuk bersama merasai nikmat kemakmuran hidup dalam negara yang aman serta merdeka. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas