Berita

Dayang Nurfaizah mahu generasi baharu kenal lagu Melayu klasik

|DAYANG mahu generasi baharu kenal lagu-lagu Melayu klasik yang sarat dengan mesej
- Diterbit 12 Januari 2021 10:00 PM MYT

TIDAK ramai penyanyi berani mempertaruhkan lagu-lagu Melayu klasik untuk dimuatkan dalam album mereka. 

Lain pula dengan penyanyi popular bervokal mantap Dayang Nurfaizah yang sudah lama berhasrat mahu memperkenalkan lagu-lagu Melayu klasik kepada generasi baharu.

Akhirnya impian Dayang tercapai apabila album terbaharunya berjudul Belagu bakal dilancarkan pada Jumaat ini.

“Menerusi Belagu, Dayang mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar. 

“Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampainnya. 

“Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan,” katanya yang meletakkan harapan agar lagu-lagu Melayu klasik akan terus segar dalam kalangan generasi muda.

Dipetik dari perkataan dalam dialek Melayu Sarawak, Belagu membawa maksud menyanyi, dan album ini dibarisi lagu Melayu klasik malar segar.

Album yang hadir dengan lapan buah lagu ini mengetengahkan intrepretasi segar Dayang Nurfaizah dan disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito. 

Sebagai permulaan, Lagu Tudung Periuk bakal menjadi trak pertama dari album ini yang akan dilancarkan kepada umum. 

Menurut Dayang, pemilihan Tudung Periuk sebagai lagu pertama adalah kerana kemahsyuran lagu itu dalam kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.

“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, Tudung Periuk cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu. 

“Kami melancarkan lagu ini terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan kepada mereka sepenuhnya apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak. 

“Jika mereka sukakan Tudung Periuk pastinya mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu  dalam album Belagu,” jelasnya yang mengaku rasa puas apabila dapat merakamkan album secara live

DAYANG mahu generasi baharu kenal lagu-lagu Melayu klasik yang sarat dengan mesej

Keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh Belagu tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya sendiri. 

Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara lansung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar. 

Proses rakaman yang di sempurnakan dalam masa dua hari, diiringi pemuzik-pemuzik hebat dibawah telunjuk Aubrey Suwito. 

Selain Tudung Periuk, lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album Belagu ini ialah Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini), Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu.

Belagu diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment Sdn. Bhd, dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia. 

Tudung Periuk boleh didengari sekarang di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 15 Januari 2021 dan album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Febuari 2021. ‘Pre-order, pre-add, pre-save’ di semua platform digital sekarang! – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas