Berita

Negara sifar kematian jalan raya

portrait of happy asian man riding on motorbike in city street and showing thumb up
- Diterbit 4 April 2024 1:52 PM MYT

DALAM menangani isu keselamatan jalan raya di Malaysia, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memperkenalkan satu dokumen rujukan rasmi yang dinamakan sebagai Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) sejak tahun 2006 yang telah pun menjangkau edisi ketiga.

Ia bertujuan untuk menetapkan hala tuju bagi meningkatkan tahap keselamatan dan menangani isu-isu jalan raya terutama melibatkan aspek kematian.

Bagi merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sifar kematian di jalan raya, kerajaan meneruskan pelaksanaan PKJRM 2022-2030 di mana ia berkait dengan pengalaman dua PKJRM sebelum ini dan kerangka asas Pelan Global Tindakan Sedekad Keselamatan Jalan Raya 2011-2020.

Ia termasuklah isu-isu semasa yang berkaitan dengan aspek keselamatan jalan raya pada peringkat Malaysia.

PKJRM 2022-2030 ini juga telah menetapkan visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sifar kematian akibat nahas jalan raya sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi kebajikan semua pengguna jalan raya di Malaysia.

Dalam masa sama, ia menetapkan misi untuk membudayakan keselamatan jalan raya ke arah kesejahteraan negara bagi mendorong perubahan minda masyarakat supaya mementingkan aspek keselamatan dan pematuhan jalan raya seterusnya dijadikan sebagai norma kehidupan harian.

Berdasarkan kepada maklum balas, cadangan, kumpulan data dan dapatan daripada kajian-kajian yang telah dijalankan pada dua pelan sebelum ini, rangka kerja PKJRM 2022-2030 adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya bagi dekad 2022-2030 di Malaysia akan memberi fokus kepada 10 bidang keutamaan yang meliputi 58 strategi utama.

Salah satu fokusnya adalah berkaitan dengan penunggangan motosikal yang lebih selamat memandangkan berdasarkan situasi lebih dari dua dekad kematian melibatkan para penunggang dan pembonceng motosikal sentiasa melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian jalan raya dan terdapat keperluan mendesak untuk memberikan fokus kepada penunggangan motosikal yang lebih selamat.

Secara realitinya, penggunaan motosikal masih ketara di Malaysia atas faktor mampu milik, mudah untuk digunakan dan menawarkan perkhidmatan dari pintu ke pintu. Motosikal sememangnya menjadi pilihan utama bukan sahaja untuk penggunaan peribadi atau ulang-alik kerja tetapi juga penggunaannya lebih meluas susulan perkembangan trend ekonomi gig di Malaysia.

Justeru, usaha-usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia sememangnya wajar untuk dijalankan serta kajian terperinci juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti tindakan yang sesuai dan bertepatan dapat dilaksanakan dengan berkesan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas