Berita

Abbas tekad atasi masalah lalu lintas

- Diterbit 4 April 2024 12:30 PM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi daripada Parti Amanah Negara mahu membawa Seri Serdang ke arah sebuah bandar yang maju.

Masalah kesesakan trafik, bantuan buat warga emas serta pelbagai lagi adalah antara nadi penggerak Abbas untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat warga Seri Serdang.

Wartawan Wilayahku, Syed Hazique Syed Nor berpeluang mendengar segala pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya di kawasan tersebut.

Apakah cabaran yang dihadapi YB sepanjang berkhidmat di DUN Seri Serdang?

Saya di kawasan DUN Seri Serdang bukanlah asing, sebab pernah menjadi ahli majlis di sini beberapa tahun yang lepas.

Cabaran itu semestinya ada tetapi cuma bagaimana kita menguruskan segala permasalahan atau cabaran yang mendatang itu, yang mampu membina jati diri.

Banyak isu-isu kerakyatan seperti kepadatan penduduk, masalah kesesakan trafik, ini adalah cabaran atau isu yang tiada penghujungnya yang perlu saya beri penekanan di samping mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat semua pihak.

Pada Pilihan Raya Umum yang lepas terdapat kira-kira 93,000 ribu pengundi, manakala seramai kira-kira 240,000 penduduk Seri Serdang, kalau dilihat memang ramai, bagaimana saya hendak bertemu sorang-sorang, justeru itu, saya amat bersyukur memiliki pasukan yang mampu memberi kerjasama terbaik dalam membantu penduduk.

Ia bukan satu perkara yang senang namun, masalah komunikasi ini bukanlah satu halangan utama sepanjang saya berkhidmat di sini.

 

Apakah fokus YB dalam membantu pembangunan Seri Serdang?

Jika ikutkan hati dan perancangan saya, ia memang banyak tetapi saya mahu Seri Serdang untuk menjadi antara kawasan yang maju, bersih, penduduk yang bersatu padu serta berdisiplin tinggi.

Di Seri Serdang semua golongan rakyat terdapat di sini tidak kira, T20, M40 serta B40. Kita ada kawasan pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), kawasan kampung, kawasan taman perumahan, malah lebuh raya yang menghubungkan ke ibu kota.

Dari segi infrastruktur, sudah tentu kita mahu pembangunan yang mampan, namun, fokus utama ialah bagi mengatasi kesesakan jalan raya, selain daripada sudut pendidikan buat anak-anak kecil, kebajikan untuk warga emas, serta keselamatan buat semua penduduk.

 

Berapa banyak peruntukan dalam membangunkan kawasan-kawasan di sini?

Kerajaan Negeri Selangor khususnya memberi peruntukan untuk bajet-bajet tertentu juga peruntukkan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Contohnya melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor (JPS) kita dapat peruntukan untuk kerja-kerja tebatan banjir yang akan bermula pertengahan tahun ini bernilai hampir RM15 juta.

Begitu juga ada projek bagi membesarkan serta mendalamkan sungai kira-kira RM300 juta oleh kerajaan.

Jabatan Kerja raya (JKR) juga turut membantu memberi peruntukan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang menelan belanja kira-kira RM300 juta. Ada juga projek bagi pembinaan masjid baru, dengan bajet lebih kurang RM17 juta.

Itu merupakan antara peruntukan yang besar untuk penduduk di Seri Serdang, dan pembangunan infrastruktur, ini semua mampu memberi manfaat dan kebaikan buat penduduk dalam menjalani hidup yang lebih baik.

 

YB ada memberitahu tentang masalah kesesakan lalu lintas, apakah perancangan yang telah dilakukan dalam mengatasinya seiring kepadatan penduduk?

Ia memang satu masalah yang sangat besar kepada semua warga Seri Serdang. Kita perlukan perancangan rapi dalam mengatasi masalah ini. Tambahan lagi kepadatan penduduk juga membuatkan lebih ramai yang memiliki kenderaan sendiri, ini juga menyumbang kepada masalah kesesakan lalu lintas.

Kita juga menjalinkan kerjasama dengan pihak syarikat lebuh raya bagi memudahkan atau mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di Lebuhraya Damansara Puchong. Sebut sahaja kawasan di Puchong pasti ramai yang tidak sanggup untuk menempuh kesesakan lalu lintas di sini.

Disebabkan itu, kita ada perancangan jangka pendek dengan selaraskan balik simpang dari empat ke tiga fasa. ia hanya dalam tempoh percubaan sahaja bukan selama-lamanya.

Kita sudah ada perancangan untuk membina jejantas bagi membantu aliran trafik yang lebih lancar di masa hadapan.

Ia bukan satu perkara yang mudah namun, saya amat memandang serius tentang permasalahan ini kerana ia mengganggu kelangsungan hidup penduduk di Seri Serdang yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

 

Kerajaan semakin serius dalam menghapuskan atau mengurangkan golongan miskin tegar, apakah yang YB laksanakan dalam membantu kerajaan berhubung isu tersebut?

Umum sedia maklum, pelbagai bantuan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam memerangi isu ini. Walaubagaimnanapun kita perlu faham, itu hanya bantuan, bukan saraan untuk seumur hidup, bantuan bermaksud bagi meringankan beban.

Di Seri Serdang terdapat kira-kira 20 peratus daripada 93,000 orang memiliki pendapatan yang rendah. Justeru itu, saya bersama pasukan dan agensi-agensi kerajaan cari dan membantu mereka untuk memiliki kehidupan yang lebih selesa.

Antara bantuan yang paling popular ialah Jualan Ehsan Rahmah, berani saya katakan, jika terdapat 500 ekor ayam dijual, kesemua pasti laris. Justeru itu, pendapat saya, kos sara hidup ini amat membelengu semua orang.

Selain itu, terdapat juga program Iltizam Selangor di mana saya menolong mendaftar penduduk untuk menyertai 47 ke 48 program yang terdapat di dalamnya.

Antaranya ialah baucar Selangor Mesra Usia Emas di mana mereka layak untuk mendapat baucar bernilai RM150 yang akan diberikan semasa hari lahir. Saya difahamkan sebanyak 5,000 orang telah berdaftar untuk program tersebut.

Selain itu, pemberian air percuma sebanyak RM11.40, malah golongan korporat juga membantu memberi bantuan pelajaran kepada pelajar-pelajar yang kekurangan barangan keperluan.

Saya juga percaya bantuan-bantuan ini sedikit sebanyak mampu mengubah kehidupan mereka, selebihnya adalah usaha yang perlu mereka tunjukkan untuk mengubah nasih keluar dari kepompong kemiskinan.

 

Malaysia berdepan dengan negara yang semakin menua, apakah inisiatif yang diambil YB dalam membantu warga emas di Seri Serdang?

Jangan terkejut jika saya katakan, warga emas adalah yang paling ramai terdapat di Seri Serdang. Seperti yang saya sudah jelaskan sebentar tadi, kita perluaskan lagi bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor khusus buat golongan ini.

Malah ada juga yang datang kepada saya meminta untuk memohon menyediakan satu tempat di mana mereka boleh melakukan aktiviti untuk mengeluarkan peluh.

Saya akan membayar atau menyewa satu dewan bagi mereka untuk beriadah dan kadang kala saya juga akan turut serta bersama.

Daripada segi kemahiran di sini tidak banyak yang dibantu kerana kebanyakan mereka telah bersara, yang hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga.

 

Bagaimana pula YB menyantuni penduduk Seri Serdang?

Secara jujurnya, jika kita hendak menyantuni setiap rumah memang agak sukar walaubagaimanapun konsep yang dipakai sama sahaja, saya bersama pasukan serta agensi-agensi kerajaan mengadakan pelbagai program berbentuk kerakyatan untuk mengenali serta mengeratkan hubungan.

Sementara itu, saya juga berhubung rapat dengan ahli-ahli pemegang taruh penduduk Seri Serdang seperti wakil penduduk, ahli masjid, dan sebagainya sekali gus memberi segala info dan aturcara program bersama.

Bagi Ramadan kali ini, kita memperuntukkan sebanyak RM45,000 untuk disalurkan kepada kesemua 56 masjid serta surau di sini.

Sementara itu, sebanyak RM2,000 disalurkan kepada kira-kira 90 persatuan persatuan penduduk yang terdapat di sini untuk mengadakan sebarang program kemasyarakatan.

Syukur, Alhamdulillah pemegang taruh di Seri Serdang amat aktif di dalam mengadakan program, malah ada juga antara mereka yang membantu di pusat khidmat kami.

 

Apakah harapan YB kepada penduduk Seri Serdang di masa hadapan?

 

Secara jujurnya, saya mempunyai impian yang besar buat penduduk di Seri Serdang, malah banyak perancangan yang telah dilaksanakan.

Visi saya ialah untuk membangunkan kawasan ini sehingga menjadi kawasan yang maju, bersih serta penduduk yang berdisiplin tinggi. Jika kita lihat kebanyakan negara-negara maju, mereka memiliki kawasan yang sangat bersih serta teratur membuatkan penduduk lebih berdisiplin.

Ini yang saya harapkan untuk penduduk di sini, di samping mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah lalu lintas. Begitu juga bagi aspek kesihatan, bila kawasan bersih, kesihatan juga akan bertambah baik.

Malah ini adalah antara beberapa perkara saya harap akan mengubah penduduk di sini pada masa hadapan bertunjangkan aspek kebersihan, keselamatan serta kesihatan. Jadi selain soal infrastruktur untuk dimajukan perkara ini juga perlu diberi penekanan atau perhatian untuk bertambah maju. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas