Berita

MyFood beri manfaat 32,000 isi rumah

ANNUAR menyerahkan bakul makanan MyFood@Wilayah kepada salah seorang peserta di PPR Kerinchi baru-baru ini. ANNUAR menyerahkan bakul makanan MyFood@Wilayah kepada salah seorang peserta di PPR Kerinchi baru-baru ini.
- Diterbit 11 Disember 2020 3:50 AM MYT

MESKIPUN pelbagai inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19, namun masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

Bagi penduduk yang menetap di projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di ibu kota, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memahami keperitan golongan
miskin bandar yang menerima kesan pandemik ini dan memperkenalkan program MyFood@Wilayah bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, beberapa laporan yang telah dibuat termasuk laporan berkala oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) yang mengetengahkan mengenai kemiskinan bandar secara khusus di kawasan PPR dan PA.

Malah Perdana Menteri telah membuat beberapa kunjungan ke PPR serta PA di sekitar ibu kota dan telah menarik perhatian kabinet tentang adanya keluarga yang dikategorikan sebagai keluarga miskin bandar.

“Menerusi laporan tersebut, pihak KWP telah mengadakan program khusus untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung ekoran kesan pandemik COVID-19 dengan memperkenalkan program MyFood@Wilayah serta empat program di bawah Inisiatif Wilayah Cakna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MyFood@Wilayah di PPR Kerinchi baru-baru ini.

Menurut Annuar, apabila Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kebangsaan telah diubah, maka pihak kerajaan telah menjangkakan angka sebenar kemiskinan bandar akan meningkat.

“KWP telah pun mengambil tindakan susulan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) khususnya dengan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad untuk memberikan fokus kepada langkah-langkah yang akan diambil dalam RMK-12 bagi menangani masalah kemiskinan
bandar.

“Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) juga telah diminta untuk membuat tinjauan di semua PPR dan PA bagi memastikan tidak ada keluarga yang terbiar kerana masalah kemiskinan. Dalam masa sama KWP melancarkan program My5 yang terdiri daripada MySchoolBus@Wilayah; MyGrocer@Wilayah; MyMedic@Wilayah; MyJob@Wilayah bagi mengurangkan kos sara hidup kumpulan sasar termasuklah program terbaharu MyFood@Wilayah,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif ini, seramai 32,000 orang Ketua Isi Rumah (KIR) miskin bandar di 67 lokasi PPR dan PA di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima bantuan bekalan makanan yang terdiri daripada barang keperluan harian asas bernilai RM50.00 seunit secara percuma.

“Ia membabitkan peruntukan sebanyak RM1.6 juta. Antara lokasi terbabit ialah di PA Seri Kota, PA Seri Melaka, PA Desa Petaling, PPR Seri Malaysia, PPR Kerinchi Lembah Pantai, PPR Kampung Muhibah, PPR Jelatek, PA Seksyen 10 Wangsa Maju, PPR Kampung Limau dan PPR Beringin,” katanya.

Annuar memberitahu, pengagihan bakul makanan kepada kumpulan sasar ini dibuat secara berperingkat dengan kerjasama empat Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) iaitu Badan Inisiatif Jalinan Nasional, Kelab Putera Puteri Inspirasi Bandar Sri Damansara, Yayasan Himmah Malaysia dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia, DBKL, MPPWP dan Persatuan Penduduk di setiap zon.

“Penglibatan pelbagai pihak dalam proses pengagihan bakul makanan ini dapat melancarkan
proses pengagihan di samping mengurangkan keperluan bagi pergerakan orang ramai untuk mendapatkan bakul makanan mereka terutama sekali dalam situasi PKPB.

“NGO lain yang berminat untuk melaksanakan perkhidmatan secara sukarela ini adalah dialu-alukan oleh pihak kerajaan kerana dapat memberikan sumbangan secara percuma kepada golongan yang terkesan bagi kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kata Annuar lagi, menerusi Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 3.0, KWP melalui DBKL dan Perbadanan Putrajaya telah menyediakan bantuan Food Pack berbentuk baucar makanan
kepada asnaf dan golongan miskin (B40) bernilai RM100 untuk setiap isi rumah.

“Bantuan sebegini diteruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang memberi bantuan barang keperluan asas melalui Program JAWI Food Bank dan Program Dapur It’am.

“Menerusi bantuan-bantuan yang diberikan melalui IWC, dapat melegakan warga kota dan mengurangkan beban sara hidup yang perlu ditanggung. Jelasnya, bantuan sebegini akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan program ini merupakan pelan perancangan jangka masa panjang dan komprehensif KWP bagi membantu mengurangkan
kos sara hidup yang ditanggung golongan miskin bandar.

“Program ini juga akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan kos rendah swasta
dan kampung tradisi pada masa hadapan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas