Berita

DA’I SYED mengaku tidak bersalah lakukan seks luar tabii

- Diterbit 11 Disember 2020 3:16 AM MYT

PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, yang didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di  Mahkamah Petaling Jaya semalam, berdepan satu lagi pertuduhan merogol seorang wanita di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor.

Memetik laporan BERNAMA, Syed Shah Iqmal, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun itu di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 11.35 malam, pada 11 Sept tahun lepas, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan ia akan menimbulkan persepsi kurang senang dalam  kalangan  orang awam jika tertuduh dibebaskan kerana beliau merupakan seorang selebriti yang dikenali.

“Tertuduh juga mempunyai beberapa kes lain, selain dikhuatiri akan mengganggu mangsa dan saksi serta boleh mengganggu kualiti kelancaran dan keterangan mereka di mahkamah jika dibenarkan ikat jamin,” katanya.

Nor Baizura berkata sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Sumber & Foto: BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas