Berita

MPP BTR jalin kerjasama program bantu komuniti

KAMARUDDIN menyerah sumbangan mesin hand sanitizer untuk kegunaan di Balai Polis Sg. Besi, baru-baru ini. KAMARUDDIN menyerah sumbangan mesin hand sanitizer untuk kegunaan di Balai Polis Sg. Besi, baru-baru ini.
- Diterbit 13 Disember 2020 7:06 AM MYT

KERJASAMA beberapa pihak termasuk pemimpin tempatan, menjadi penggerak bagi pelaksanaan program bermanfaat kepada komuniti seterusnya memudahkan peluang mereka mencari rezeki.

Hasil usaha sama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar dan DBKL serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Sub Zon 5, Bandar Tun Razak membolehkan mesin hand sanitizer dan apron disumbang kepada peniaga dan pihak berkuasa untuk kegunaan.

Kamarudin sempat melakukan tinjauan sekitar Pekan Sungai Besi turut menzahir  harapannya, supaya peniaga manfaatkan peluang diberi seterusnya dapat mencari rezeki dalam situasi norma baharu ini.

“Saya bersama para pegawai di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Bandar Tun Razak ini, lihat sendiri rata-rata peniaga secara umumnya berpuas hati dengan pemberian lesen sementara dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Saya rasa gembira, harap dasar baharu (lesen niaga sementara) diambil oleh kerajaan ini selain kebebasan perjalanan dilonggarkan dapat digunakan sebaiknya oleh peniaga,” katanya di dalam Program Sumbangan Mesin Hand Sanitizer, Balai Polis Sungai Besi.

Selain balai Polis, Kamarudin yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar turut sumbangkan cecair pembasmi kuman dan apron kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil di Pekan Sungai Besi.

“Secara keseluruhan dari maklum balas diterima, kita telah dapat memberikan keadaan kehidupan yang biasa dan baik kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Bandar Tun Razak, Farouk Mohd. Noor berkata, setakat ini sejumlah 194 permohonan lesen niaga sementara telah diterima oleh
pihaknya.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 186 lesen telah pun diluluskan untuk peniaga di kawasan ini termasuk 100 lesen yang diserahkan YB Timbalan Menteri hari ini,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas