Berita

Pelukis ‘mati’ perlahan-lahan, rayu bantuan kerajaan

|SENTUHAN seni Irwan bukan hanya di kanvas tetapi juga di labu sayong.||
- Diterbit 13 Disember 2020 2:20 AM MYT

RAMAI yang tidak menjangkakan pandemik COVID-19 telah membawa ‘bencana’ yang besar kepada pelbagai sektor pekerjaan dan industri.

Puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan apabila banyak syarikat mengurangkan pekerja dan lebih menyedihkan gulung tikar.

Begitulah juga dengan nasib pelukis-pelukis tempatan yang bernaung bawah Persatuan Seni
Rupa Malaysia atau PeRUPA.

Mereka kini mula mencongak nasib hidup yang bagaikan telur di hujung tanduk.

Menurut Naib Presiden PeRUPA, Irwan Idris, 40, persatuan yang dianggotai oleh 300 ahli kini ‘tenat’ kerana tiada sumber pendapatan.

SENTUHAN seni Irwan bukan hanya di kanvas tetapi juga di labu sayong.

“Situasi ini sebenarnya menunjukkan seolah-olah kerjaya sebagai pelukis ‘mati secara perlahan-lahan’.

“Sebelum ini kami sudah terkesan dengan kemunculan pelbagai teknologi baharu, apatah lagi kini kesukaran hidup ditambah pula dengan krisis COVID-19,” katanya yang sebelum ini bersama-sama ahli yang lain menjadikan lukisan sebagai sumber pendapatan.

“Sebelum ini, ramai ahli persatuan yang majoritinya menetap di Kuala Lumpur mencari rezeki menjual lukisan dan merchandise mereka dalam mana-mana acara yang dianjurkan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac lalu, tiada langsung acara yang melibatkan kami.

“Iya, kami ada menjual lukisan secara dalam talian, namun ia amat sukar kerana peminat  seni lebih suka menilai lukisan di hadapan mata,” katanya lagi.

MOHON TAPAK DARI KERAJAAN

Irwan berkata, dia mahu mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada pihak berkuasa terutamanya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu nasib para pelukis yang kebanyakannya menetap di Kuala Lumpur.

“Bagi menjamin kembali pendapatan dengan menjual hasil lukisan, kami berharap DBKL boleh menyediakan sebuah lokasi yang sesuai atau menjadi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur untuk kami menjadikannya sebagai tapak cari makan.

“Selain mempamerkan lukisan, kami boleh menjualnya kepada orang ramai.

“Kami boleh membuat lelongan lukisan dengan harga mampu milik. Kalau tak banyak pun, sekurang-kurangnya kami masih ada pendapatan untuk menyara keluarga.

“Tempat ini mungkin boleh dijadikan sebagai one stop centre atau pusat sehenti untuk mereka yang melancong di Kuala Lumpur.

“Bila ada pusat seperti ini, ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan bukan sahaja kepada pelukis, malah peniaga makanan atau cenderahati boleh sertai sekali untuk mencari rezeki,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Irwan juga berharap agar DBKL dapat membantu para pelukis dengan memberi projek yang sesuai untuk para pelukis sebagai pendapatan sampingan.

Katanya, ia bertepatan dengan sambutan DBKL yang ke-50.

“Mungkin ada projek yang sesuai untuk kami seperti membuat papan tanda, buku, baju dan pelbagai jenis merchandise lain yang melambangkan keutuhan DBKL selama 50 tahun berbakti kepada masyarakat.

“Ini secara tidak langsung, membuatkan masyarakat lebih dekat dengan DBKL apabila kenangan berupa bentuk barangan boleh dipakai atau dibuat kenangan,” katanya yang menepis dakwaan sesetengah pihak tentang seni lukisan tidak boleh pergi jauh.

“Kita mempunyai ramai pengumpul karya seni. Masih banyak kumpulan atau golongan pengumpul tegar yang akan membeli serta menyimpan karya atas nilai sentimental.

“Kalau nak tahu, zaman seni lukisan yang sukar difahami sudah pun berlalu dan ini pastinya memikat golongan muda untuk mula membeli karya seni ini.

“Seperti mana yang kita tahu, lukisan yang dihasilkan ada mesej yang ingin disampaikan seperti tema kehidupan masyarakat, kecintaan kepada negara, mengenang sejarah Malaysia dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Sebarang maklumat lanjut bolehlah layari laman Facebook: PeRUPA Malaysia atau Instagram: @perupamy.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas