CKK

Motosikal besar ‘raja’ jalan raya

- Diterbit 5 Januari 2024 3:20 PM MYT

KENDERAAN besar seperti lori dan treler disifatkan sebagai ‘raja’, baik di atas jalan raya biasa atau lebuh raya. Saiz badannya yang besar dan sering dipandu laju, menyebabkan ia digeruni oleh pengguna jalan raya lain.

Tetapi kini bukan sahaja lori dan treler menjadi raja jalan raya. Motosikal besar berkuasa tinggi sudah termasuk dalam kategori tersebut. Gelagat penunggang motosikal dan cara penunggangan menampakkan mereka menguasai jalan raya.

Berbalik kepada lori dan treler, pemandu lain sangat berhati-hati, malah berasa cemas jika berselisih dengan dua kenderaan tersebut atau jika kenderaan berat itu berada di hadapan dan belakang mereka. Pemandu mahu sahaja cepat keluar daripada lorong mereka berada.

Motosikal besar bukan isu baharu kerana sudah berada di jalan raya sejak lama. Namun kebelakangan ini gelagat penunggang nampak makin menjadi-jadi. Biasanya mereka yang bermotosikal ini adalah daripada kelab atau persatuan tertentu yang menunggang motosikal sebagai hobi dan untuk rekreasi. Ada yang berseorangan, ada berpasangan.

Cuma yang merisaukan kawan-kawan Kedai Kopi ialah cara mereka menunggang motosikal. Ditunggang laju itu sudah pasti. Masakan motosikal besar hendak ditunggang perlahan seperti motosikal kapcai. Pendek kata kelajuan yang boleh membawa padah serius jika berlaku kemalangan.

Jika berada di lebuh raya, dari jarak yang masih jauh di belakang, pemandu kenderaan sudah boleh mendengar deruan motosikal. Apatah lagi dengan lampu besar yang menyala garang membolehkan pemandu melihat kedatangan mereka. Cahaya lampu hingga menyilaukan mata jika dari arah bertentangan.

Satu persatu motosikal bergerak pantas memotong kenderaan lain. Dalam proses itu mereka mencelah antara kenderaan sehingga kenderaan lain pula yang terpaksa menyisih memberi laluan.

Banyak kes kemalangan maut berlaku melibatkan motosikal besar. Namun ia tidak menimbulkan rasa takut dalam kalangan penunggang. Mereka tetap memecut dan mencelah di jalan raya. Pemandu lain pula yang terpaksa berwaspada demi mengelak kejadian tidak diingini.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, tidak ada masalah memenuhi hobi. Cuma perlu beringat dan berwaspada demi keselamatan diri sendiri dan orang lain. Ingat, jika berlaku sesuatu tragedi bukan sahaja penunggang yang akan susah, tetapi orang lain turut menerima akibat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas