CKK

Kawal kebanjiran warga asing

- Diterbit 12 Januari 2024 3:00 PM MYT

TINDAKAN tepat dan wajar diteruskan! Itu pandangan kawan-kawan Kedai Kopi terhadap operasi pihak berkuasa menggempur ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada akhir bulan lalu (Disember 2023) dan awal bulan ini.

Operasi juga dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Jalan Haji Taib, Chow Kit. Tindakan termasuk menyita dan pindah barangan ke atas pemilik aktiviti atau tapak lot perniagaan yang gagal mempamer lesen dan dikendalikan oleh warga asing.

Tindakan ini menggambarkan isu kebanjiran warga asing di negara ini berada pada tahap membimbangkan, ditambah dengan perlakuan mereka yang sering melanggar undang-undang.

‘Mini Dhaka’ sempena nama Dhaka, ibu negara Bangladesh. Namun bukan hanya warga Bangladesh memenuhi negara ini, tetapi juga Nepal, Myanmar, Indonesia dan lain-lain. Kerana ramainya mereka sehingga membentuk koloni di kawasan tertentu.

Kawan-kawan Kedai Kopi teringat lama dahulu ketika memohon untuk mendapatkan visa ke Bangladesh atas urusan kerja, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur mengingatkan jangan cuba tinggal dan bekerja di sana.

Dalam hati terdetik kata, siapa pula hendak bekerja di sana. Yang pasti ramai rakyat negara itu datang ke negara ini mencari rezeki. Rakyat negara itu yang lebih memerlukan kerja di negara ini, bukan sebaliknya.

Kebanjiran warga asing memberi kesan negatif kerana apabila berada dalam satu koloni besar, mereka berlagak seperti warga tempatan, membuka perniagaan atau menggaji warga asing tanpa kebenaran.

Justeru serbuan pihak berkuasa mengepung ‘Mini Dhaka’ yang melibatkan 1,000 orang pegawai dan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) ialah bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang, perniagaan yang dimiliki serta kegiatan menggaji warga asing.

Serbuan susulan minggu lalu membabitkan 300 pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL. Dalam serbuan ini DBKL mengambil tindakan sita serta kompaun terhadap peniaga dan penjaja warga asing.
Yang menakutkan, serbuan pihak berkuasa mendapati warga asing menawarkan khidmat klinik persendirian. Tentu sahaja operasi klinik ini tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak dilesen oleh DBKL.

Sangat berbahaya klinik ini kerana tidak diketahui adakah pengendalinya benar-benar berkelayakan dan ubat yang diberikan adakah benar-benar asli serta mematuhi piawaian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas