Berita

Mohamad Faisal digantung empat bulan

- Diterbit 27 Julai 2023 12:00 AM MYT

PEMAIN sensasi Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut kelab itu menerusi kenyataan malam ini.

Ia susulan kenyataan media yang dibuat pemain berusia 25 tahun itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.

Namun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula semalam (25 Julai) hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik Mohamad Faisal selama setahun bermula 24 Ogos.

“Semalam, wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk perbicaraan tatatertib. Pada hari ini, Selangor telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.

“Oleh itu, beliau tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) (29 Julai), Kuala Lumpur City (8 Ogos), Negeri Sembilan (13 Ogos) dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC (3 dan 19 Ogos),” menurut kenyataan itu.

April lepas, Mohamad Faisal yang turut dikenali sebagai Mickey, menyatakan kekecewaannya terhadap perjalanan perlawanan menentang Sabah tersebut dan berharap ia lebih adil.

Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Selangor tewas 1-2 dengan gol tunggal disumbangkan Mohamad Faisal. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas