Berita

MH370: Ocean Infinity bentang pelan baharu pencarian Mei ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 Mac 2024 4:45 PM MYT

SYARIKAT robotik marin Ocean Infinity akan membentangkan pelan baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) awal Mei ini, kata Menterinya Anthony Loke.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Loke berkata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan mengadakan pertemuan dengan beliau sendiri untuk membentangkan pelan tersebut termasuk lokasi pencarian baharu.

“Kita tunggu dulu kertas cadangan mereka dan selepas dengar pembentangan, MOT perlu buat kertas Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan Kabinet untuk mengadakan komitmen tersebut.

“Kena faham prinsipnya ialah no cure, no pay. Kalau mereka tak dapat jumpa pesawat itu, tidak ada bayaran diberikan. Namun begitu kalau sudah ada komitmen (perjanjian), kalau mereka jumpa kita perlu bayar. Ia (akan) melibatkan implikasi kewangan dan memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya.

Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.

Pada 3 Mac lepas, Loke dilaporkan berkata MOT memberi jaminan akan melakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat MH730 yang hilang 10 tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac menyatakan kesediaan Malaysia untuk membuka semula siasatan kehilangan pesawat itu sekiranya terdapat bukti baharu dan kukuh.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas