Berita

MFL anjak tarikh Liga-M

- Diterbit 30 Januari 2024 7:30 PM MYT

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menganjak tarikh permulaan musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) dari 3 hingga 5 Mei kepada 10 hingga 12 Mei susulan pertukaran tarikh pemeriksaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

MFL menerusi kenyataan memaklumkan tarikh baharu pemeriksaan sistem itu oleh FIFA dianjak dari bulan depan kepada 16 hingga 21 April.

Menurut kenyataan itu, MFL perlu mengadakan siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab Liga-M yang akan berlangsung pada 22 April hingga 5 Mei ini.

“Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga Malaysia tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

“Malah perlawanan ujian itu juga penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook MFL hari ini.

MFL memaklumkan pihaknya kini dalam perbincangan bersama kelab-kelab terlibat dengan siri perlawanan itu dan akan memberi pengumuman mengenainya sebaik sahaja segala butiran dimuktamadkan.

Dalam perkembangan lain, MFL memaklumkan telah mencalonkan pasukan yang menamatkan Liga Super 2023 di kedudukan ketiga (Sabah FC) dan keempat (Kedah Darul Aman FC) untuk beraksi di ASEAN Club Championship (ACC) 2024.

Bagaimanapun, perkara yang diusulkan menerusi FAM kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) masih belum menerima sebarang maklum balas.

Sementara itu, MFL memaklumkan akan mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 meskipun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab AFC.

“Hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC iaitu AFC Champions League Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 serta pertandingan kelab ASEAN (AFF) dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MFL juga mengumumkan hanya pusingan 16 Piala FA kekal dimainkan secara pusingan satu perlawanan manakala pusingan suku akhir dan separuh akhir kejohanan itu akan ditukar dengan format dimainkan secara timbal balik.

Menurut MFL, kejohanan Piala FA 2024-2025 bakal melibatkan penyertaan kelab Liga Super 2023 dan dua kelab M3 yang akan dipilih Liga Bolasepak Amatur (AFL). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas