Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selebriti

Blockout 2024: Usah salahkan selebriti semata-mata

- Diterbit 24 Mei 2024 4:40 PM MYT

PELAKON yang popular menerusi drama bersiri Lelaki Itu, Ameerul Asyraf, berharap netizen tidak menyalahkan artis semata-mata dalam isu Blockout 2024.

“Saya sebenarnya tidaklah pandai sangat untuk komen tentang Blockout 2024, tapi ini adalah komen saya sendiri secara peribadi. Bukan apa, takut juga kalau tersalah cakap.

“Sebagai public figure, saya tengok ramai selebriti  bersuara tentang isu Palestin ini di platform media sosial masing-masing. Itulah peranan kami dalam isu ini, bukan sahaja sebagai artis tetapi juga umat Islam.

“Menyentuh tentang artis terima kerjasama dengan produk dari Israel yang menyebabkan mereka tersenarai dalam Blockout 2024 itu, jangan salahkan artis semata-mata. Pasti ada sebab dan alasan tersendiri yang orang lain tak tahu,” ujarnya.

Tambahnya, selebriti yang membuat hantaran di media sosial berkaitan produk tersebut biasanya telah dipersetujui awal.

“Iyalah, ia juga salah satu punca pendapatan mereka selain perlu memikirkan  anak-anak dan komitmen lain. Jika persetujuan awal dibuat, mereka perlu buat posting tetapi biarlah apa yang perlu sahaja, jangan berlebih-lebih,” katanya.

Ameerul juga berpendapat kurang membuat posting dalam media sosial tidak bermaksud seseorang artis itu tidak membela nasib rakyat Palestin.

“Bagi saya, tidak semestinya apabila kita tidak menyuarakan (isu Palestin) dalam media sosial, itu bermaksud kita tak ambil tahu atau ambil berat. Saya sendiri sebagai manusia biasa rasa sedih dan kecewa melihat kezaliman ke atas saudara Islam kita di sana.

“Bukan itu sahaja, bacaan qunut nazilah juga salah satu cara afdal untuk kita terus membela nasib Palestin. Begitu juga dengan gerakan solat Subuh seperti Jumaat yang digerakkan oleh Alif Satar. Rasanya gerakan ini lebih memberi impak dalam kita menyokong Palestin, di mana kita semua berdoa secara berjemaah,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas