Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Dari Pahang ke KL demi PBAKL 2024 

- Diterbit 24 Mei 2024 6:41 PM MYT

 

DEMI Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sanggup membeli tiket bas semata-mata tidak mahu terlepas peluang mengunjungi pesta berkenaan yang bermula pada hari ini.

Amirah Aina, 19, berkata dia bergerak seorang diri dari rumahnya di Pahang seawal pukul 8 pagi dan tiba di Kuala Lumpur satu jam setengah selepas itu.

Katanya, dia memang sudah lama merancang untuk hadir pada hari pertama penganjuran PBAKL 2024 memandangkan dia menggemari bacaan buku bergenre aksi.

“Saya memang suka baca buku dan novel. Alhamdulillah dapat beli apa yang diingini hari ini cuma tidak berkesempatan nak jumpa penulis novel.

“Walau apapun, hari pertama ini sangat meriah, kita dapat lihat masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa meliputi kanak-kanak sehinggalah dewasa.

“Saya yakin PBAKL boleh menjadi platform galakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk memperkasakan kembali minat membaca buku,” katanya.

Sementara itu, Mawaddah Mohd Yazid, 21, pula berkata PBAKL 2024 ini memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan buku dengan harga tawaran lebih murah berbanding harga sebenar.

“Terdapat pelbagai jenis buku di sini, ada yang saya tak pernah tahu kewujudannya tapi buku kegemaran saya genre fiksyen,” katanya.

Terdahulu, PBAKL 2024 bermula hari ini sehingga 2 Jun (Ahad) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada pukul 10 pagi hingga 10 malam.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas