Berita

MFF mohon venue latihan untuk lawan pedang

- Diterbit 3 Julai 2023 1:45 PM MYT

PERSEKUTUAN Lawan Pedang Malaysia (MFF) menerima keputusan dengan tangan terbuka bahawa tiada atletnya terpilih untuk mewakili negara di Sukan Asia Hangzhou, namun berharap akan disediakan venue latihan bagi memastikan pembangunan sukan itu di negara ini.

Presiden MFF Rusni Abu Hassan berkata pihaknya telah menyerahkan nama tiga atlet mereka, termasuk pemenang pingat gangsa Sukan SEA baru-baru ini kepada Jawatankuasa Pemilihan, namun tiada yang memenuhi kriteria untuk berada dalam kalangan empat terbaik (Kategori A) atau enam terbaik (Kategori B) di Asia.

“Kami merasakan tidak ada gunanya untuk kami merayu, kerana tahu atlet kami bukan antara yang terbaik di Asia. Kami menerima keputusan dibuat Jawatankuasa Pemilihan untuk memperketatkan kriteria kelayakan ke Sukan Asia,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Runi berkata MFF amat berharapkan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan, bagi menyediakan venue latihan untuk mereka.

Rusni, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Lawan Pedang Antarabangsa (FIE), berkata MFF hanya menerima bantuan kewangan sekali beri, untuk penyertaan Temasya Sukan daripada MSN selepas digugurkan daripada program MSN sedekad lalu.

Program pembangunan itu hanya untuk setahun selepas atlet lawan pedang Yu Peng Kean layak ke Sukan Olimpik London 2012 secara merit dan untuk dua tahun selepas menyumbangkan dua pingat emas pada Sukan SEA Indonesia 2011, pingat emas lawan pedang yang pertama di Sukan SEA selepas 22 tahun.

“Kami digugurkan daripada program pembangunan MSN pada 2013, kerana lawan pedang tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Myanmar 2013. Ia berbeza dengan Singapura, apabila kerajaan mereka mula membuat pelaburan besar dalam sukan itu bermula tahun yang sama.

“Kini, sukan lawan pedang Singapura menerima kira-kira SGD1 juta (kira-kira RM 3.46 juta) setahun dan mempunyai sekurang-kurangnya empat jurulatih bagi setiap disiplin. Saya sedang berunding dengan jurulatih luar negara, terutamanya dari kuasa besar Asia seperti Korea Selatan dan China, untuk melatih atlet kita di sini.

“Kami faham bahawa MSN dan kerajaan mungkin tidak dapat membantu dari segi kewangan, tetapi kami berharap mereka sekurang-kurangnya dapat memberi kami tempat untuk berlatih. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan sokongan berterusan daripada MSN selama ini,” katanya.

Rusni berharap dengan mempunyai jurulatih luar negara, mereka akan dapat membantu pasukan negara menjadi lebih baik pada Sukan SEA yang akan datang, iaitu di Thailand pada 2025 dan Malaysia (2027), serta berada dalam kedudukan untuk layak ke Sukan Olimpik dan Sukan Asia pada masa akan datang.

Pada Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu, Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat gangsa, manakala Singapura menjadi negara terbaik sukan itu dengan mengondol tujuh pingat emas, tiga perak dan enam gangsa, diikuti Vietnam (4-3-3).

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia diwakili tujuh atlet namun tiada seorang pun yang berjaya mara ke suku akhir. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas