Berita

Menteri Hal Ehwal Luar India lawat Malaysia, bincang hubungan dua hala dan isu serantau

KREDIT foto: Fail ihsan ABP News.
- Diterbit 27 Mac 2024 4:15 PM MYT

MENTERI Hal Ehwal Luar India Dr S. Jaishankar mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 27 dan 28 Mac, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wima Putra) pada Rabu.

Wisma Putra berkata Jaishankar diiringi pegawai-pegawai kanan Kerajaan India dalam rangka kerjanya ke rantau Asia Tenggara yang turut melibatkan Filipina dan Singapura.

Menurut kenyataan itu, semasa di Malaysia, menteri itu dihoskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kedua-dua Menteri mengadakan perbincangan yang telus dan produktif, termasuk bertukar pandangan mengenai pelbagai dimensi hubungan dua hala dan hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua menteri turut membincangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi dan penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-India ke-7 pada satu tarikh yang akan dipersetujui bersama.

Wisma Putra berkata ini merupakan perjumpaan pertama bagi kedua-dua menteri tersebut sejak Mohamad menyandang jawatannya pada Disember 2023.

“Jaishankar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mac. Beliau turut dijadualkan bertemu Menteri Digital Gobind Singh Deo.

“Hubungan persahabatan yang erat antara Malaysia dan India adalah bertunjangkan kerjasama ekonomi yang teguh dan hubungan antara rakyat yang kukuh,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata pada 2023, India merupakan rakan dagangan global ke-12 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM77.76 bilion (USD16.53 bilion). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas