Biz

MDEC galas peranan besar pacu ekonomi

- Diterbit 8 April 2024 3:03 PM MYT

PENGERUSI Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh optimis MDEC mampu memainkan peranan besar untuk membantu membangunkan ekonomi negara.

Menurut Syed Ibrahim, ekonomi digital adalah salah satu bentuk ekonomi yang diguna pakai masa kini.

“Umum sedia maklum, zaman teknologi kini telah mengubah landskap yang membuatkan majoriti urusan hanya dalam dunia digital.

“MDEC mampu memacu ekonomi dalam sektor perkilangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, dagangan, perkidmatan yang secara tidak langsung tingkatkan ekonomi negara,” kata beliau baru-baru ini.

Tambah beliau, orang ramai perlu ada kesedaran ke arah digital untuk menerima digital.

“MDEC akan sediakan platform buat semua pemain-pemain ekonomi, kita bukan sahaja perlu pasarkan di peringkat domestik sahaja malahan antarabangsa.

“Kaedah ini boleh memenuhi potensi yang ada pada ekonomi digital pada masa akan datang kerana peratus ekonomi digital akan menyumbang suku daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” ujar beliau.

Jelas Syed Ibrahim, rakyat kini sudah mula celik digital dengan menjual barangan di platform-platform media sosial.

“Jika dilihat, terutamanya di media sosial TikTok, ramai peniaga yang sudah beralih ke situ untuk menjual barangan mereka.

“Bayangkan tidak perlu kedai fizikal, modal yang lebih kecil, namun mengaut keuntungan yang lebih banyak, siapa sahaja yang tidak mahu ambil peluang ini,” katanya.

Syed Ibrahim memberitahu, orang ramai perlu peka dengan perubahan teknologi masa kini dan jadikan MDEC sebagai medium untuk menceburi bidang teknologi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan MDEC juga bekerjasama dengan tenaga pakar dari luar untuk memberikan kepakaran dan melabur dalam negara untuk membantu meningkatkan ekonomi negara.

“MDEC juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk pemudah cara serta mewujudkan satu ekosistem yang baik dan jelas.

“Sebenarnya, kita juga telah melahirkan beberapa syarikat tempatan yang mempunyai nama di peringkat antarabangsa, justeru itu, saya sarankan orang ramai untuk kejar peluang ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, pihak MDEC akan menyediakan tenaga pakar bagi membantu warga tempatan dalam perniagaan.

“Selain platform yang disediakan, kita juga menyediakan tenaga pakar dalam membantu mereka untuk memulakan perniagaan.

“MDEC juga merupakan peneraju dan pembuka jalan untuk lebih banyak peniaga-peniaga datang sertai, daripada situ kita juga turut dapat memacu ekonomi negara,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas