Selera

Ketupat menu warisan berzaman

Traditional Malay Food and cookies during Ramadan and Eid Mubarak. Hari Raya Aidilfitri. Ketupat, rendang, lemang, dodol, biskut.
- Diterbit 8 April 2024 3:00 PM MYT

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri bagaikan tidak lengkap tanpa juadah ketupat. Makanan turun-temurun ini tidak lekang dek panas tidak lapuk dek hujan. Biarpun pelbagai variasi moden muncul saat ini, namun ketupat tradisional tetap menjadi pilihan.

Menurut Malay Banquet Cef Hotel Pulse Grande, Hasnaerdawaty Md Hanapi, terdapat pelbagai jenis ketupat yang biasa disediakan oleh masyarakat tempatan antaranya ketupat nasi, ketupat sotong dan ketupat palas.

Tidak ketinggalan juga burasak yang turut dikategorikan sebagai ketupat meskipun ia hanya popular dalam kalangan Bugis dan Makasar.

Katanya, cara pembuatan dan penyediaannya juga terselit petua khas agar ia tahan lama dan lebih sedap antaranya ia akan digantung, diletak di dalam peti sejuk dan kukus mengikut keperluan.

“Terlebih dahulu kita perlu mencuci beras seterusnya rendam seketika dan gaulkan dengan sedikit garam. Kemudian, isi beras dua per tiga sahaja di dalam kelongsong diikuti dengan siram ketupat yang sudah dimasak sebelum digantung bagi membersihkan lemak yang terlekat.

“Kebiasaannya masa yang diambil untuk menyiapkan ketupat lebih kurang dua hingga empat jam mengikut kepada kuantiti ketupat yang diperlukan. Bagi saya semua jenis ketupat prosesnya adalah lama dan sama, apa yang penting adalah sabar dan terus fokus ketika menghasilkannya,” ujarnya.

Jom kita kenali lebih lanjut jenis-jenis ketupat yang popular di Malaysia untuk dicuba semasa musim perayaan nanti!

KETUPAT PALAS

BERBENTUK segi tiga, ketupat ini lebih popular di negeri pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang. Khusus di negeri Utara, ketupat palas mempunyai dua bentuk berbeza melalui cara anyamannya yang dikategori mengikut jantina iaitu jantan atau betina.

Ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi di akhir balutan dan diikat dengan kemas manakala ketupat palas betina bersaiz kecil dan tiada isi lebihan di hujung ikatan dan tidak dibalut dengan rapi.

Namun ketupat palas ini berbeza sedikit kerana diperbuat daripada beras pulut dan santan pekat. Kelongsongnya juga diperbuat daripada daun palas dan boleh dimasak dengan dua cara, sama ada direbus atau dikukus.

Uniknya ia mempunyai pelbagai variasi seperti inti kacang, serunding dan jagung. Anda juga boleh menikmati ketupat ini begitu sahaja atau bersama susu manis.

KETUPAT BORNEO

DIKENALI sebagai burasak, hidangan ini jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia kerana lebih terkenal dalam kalangan etnik Bugis di Sabah dan merupakan hidangan wajib buat etnik tersebut di Johor.

Menu ini merupakan hidangan tradisional mereka yang dihidangkan bersama ayam masak merah, ayam masak likku dan asam pedas ikan parang.

Mempunyai nama lain iaitu Buras, menu ini disediakan dengan nasi yang dikukus bersama santan dan dibalut menggunakan daun pisang nipah. Sekali pandang, burasak ini mempunyai bentuk yang hampir sama dengan lepat pisang tetapi lebih lebar dan besar.

KETUPAT SOTONG

KETUPAT sotong juga dikenali sebagai sotong sumbat kerana bahagian dalam hidangan ini diisi dengan pulut yang dimasak dengan santan pekat.

Menu tradisional ini lebih popular di perkampungan nelayan di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu kerana lambakan sotong yang tidak habis dijual ketika musim mencandat sotong.

Biasanya kita sering melihat ketupat dibalut dengan daun palas atau daun kelapa, tetapi hidangan ini dibalut dengan sotong. Unik kan? Teksturnya sangat empuk, gabungan rasa sotong memberi rasa hebat pada hidangan ini, namun ketupat sotong ini tak seperti ketupat palas atau ketupat beras yang mempunyai kelebihan pada aromanya yang wangi serta gabungan rasa yang lebih sesuai dengan suasana raya.

Beras pulut akan dimasak bersama santan sebelum disumbat ke dalam sotong sebelum dihidang dengan kuah santan yang dicampurkan dengan nisan kerek (gula Melaka versi Kelantan) di Kelantan manakala di Terengganu, mengunakan gula batu atau gula biasa.

KETUPAT NASI

DIBUAT daripada nasi yang dimampatkan ke dalam daun kelapa yang dianyam menjadi bentuk berongga. Selain disebut sebagai ketupat nasi, menu ini juga dikenali sebagai nasi impit.

Antara cara makan ketupat nasi yang popular adalah dihidangkan bersama sate dan sambal kacang. Ketupat nasi juga sering dihidang dengan kondimen seperti lodeh dan rendang, yang merupakan hidangan kegemaran di selatan Malaysia.

Cara penyediaannya mudah sahaja iaitu dengan dikukus di dalam periuk. Buat pengetahuan semua, ketupat berasal dari Indonesia dan diperkenalkan kepada penduduk di Tanah Melayu oleh ahli teologi yang terkenal di Jawa Tengah iaitu Sunnan Kaliga.

Simbolik penyediaan ketupat daripada proses penganyaman mengajak orang ramai untuk peduli tentang kesalahan dan kesilapan dilakukan manakala nasi putih pula menggambarkan hati yang suci dan kebebasan daripada dosa.

Hari ini, ketupat bukan sahaja dinikmati di Indonesia tetapi Malaysia, Singapura, Brunei malah cukup terkenal sebagai juadah ikonik setiap kali tibanya Aidilfitri. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas