Berita

MDEC bakal wujudkan 2000 hub Nomad Digital seluruh negara

- Diterbit 23 Februari 2023 4:16 AM MYT

PERBADANAN Kemajuan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bakal mewujudkan 2000 hub Nomad Digital yang dikenali sebagai DE Rantau di seluruh negara menjelang hujung tahun 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata ketika pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MDEC telah meluluskan kira-kira 764 hub di beberapa buah bandar raya seluruh negara.

“Setakat ini, terdapat sebanyak 764 hab DE Rantau di lokasi terbabit iaitu 278 di Langkawi, 147 di Pulau Pinang dan 339 di Kuala Lumpur.

“Permohonan yang diterima daripada operator adalah lebih 2,400 permohonan dan pihak MDEC setakat ini telah memberikan kelulusan kira-kira 53 peratus,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran DE Rantau@ Kuala Lumpur di Komune Living, Bangsar South hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Datuk Zakaria Shaaban.

Inisiatif DE Rantau merupakan program yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di ASEAN sekali gus meningkatkan penggunaan digital dan mempromosikan mobiliti profesional digital dan pelancongan di seluruh negara.

Menurut Nie Ching, bandar raya Kuala Lumpur merupakan lokasi program nomad digital ketiga selepas Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang dirasmikan pada tahun lepas.

“Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi
terbaharu program DE Rantau dilihat bersesuaian dengan laporan NomadList.com yang merekodkan kedudukan Kuala Lumpur di tangga ke-15 lokasi terbaik untuk para nomad digital daripada 218 buah bandar raya di seluruh dunia.

“Lokasi program DE Rantau seterusnya ialah di Melaka yang akan dilancarkan pada pertengahan Mac ini dan diikuti Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching yang menjelang hujung tahun ini,” katanya

Dalam pada itu, Nie Ching berkata program ini merupakan salah satu daripada Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) dijangka mampu menyumbang sehingga RM4.8 bilion perbelanjaan kepada ekonomi domestik negara menjelang tahun 2025.

“DE Rantau turut memberi faedah melalui perkongsian maklumat, kepakaran dan kemahiran kepada pasaran tenaga kerja negara dengan nomad digital dari seluruh dunia.

“Ini adalah selaras dengan inisiatif Malaysia Digital yang memberi tumpuan menggerakkan rakyat untuk
memainkan peranan penting dalam ekonomi digital,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas