Berita

Sistem OSC 4.0 PPj menjamin Putrajaya lebih mampan ke arah Perbandaran Madani

MESYUARAT OSC 4.0 PPj yang dipengerusikan Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud (kanan) memperlihatkan sifar penggunaan kertas sepanjang mesyuarat berlangsung.
- Diterbit 23 Februari 2023 8:55 AM MYT

KE arah pendigitalan sepenuhnya proses pemajuan di Putrajaya, Perbadanan Putrajaya (PPj) menambah baik Sistem Pemantauan OSC 3.0 PPj kepada Sistem Pemantauan OSC 4.0 PPj selari dengan teknologi IR 4.0.

Menurut Pengarah Bahagian Kawalan Perancangan Dan Pembangunan Jabatan Perancangan Bandar PPj, TPr Salmah Salman, ia memudahkan proses pemajuan mulai daripada pengumpulan maklumat bagi memulakan projek, kelulusan pelan, mula kerja pembinaan ditapak sehingga ke peringkat perakuan siap dan pematuhan (CCC).

SALMAH

“Sistem ini juga mengamalkan konsep 100 peratus dalam talian dan sifar penggunaan kertas termasuklah minit mesyuarat, surat keputusan dan surat kelulusan permohonan yang boleh diakses oleh pengguna melalui sistem tersebut.

“Selain itu, ciri-ciri utama bagi sistem ini adalah tandatangan digital, pembayaran melalui Financial Process Exchange (FPX), penyediaan chatbot bagi membantu pengguna dan integrasi bersama sistem sedia ada seperti System Analysis and Program (SAP) dan Sistem eLesen Putrajaya (ELP),” ujar beliau.

Tambah beliau, tempoh piagam dalam Sistem OSC 4.0 juga telah ditambah baik bagi memastikan kepuasan pelanggan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Semua aktiviti tersebut akan berlaku secara atas talian dan dikawal selia oleh urus setia OSC.

“Selain itu, satu kaji selidik kepuasan pelanggan telah dilaksanakan pada bulan Januari 2023 secara dalam talian kepada 100 responden yang merupakan pengguna sistem sepenuhnya. Pengguna-pengguna sistem yang terlibat termasuklah perunding bertauliah, kontraktor, pemilik premis, pemaju, persatuan penduduk, agensi teknikal luar, jabatan teknikal dalaman dan pegawai-pegawai PPj.

“Hasil kajian tersebut membuktikan 91 peratus responden menyatakan sistem ini sangat memuaskan dan hanya sembilan peratus memberi respons sederhana memuaskan. Ia menunjukkan sistem ini sangat membantu responden dalam penjimatan masa, penjimatan kos susulan pengurangan tenaga kerja, penjimatan kos percetakan dan penjimatan kos pengangkutan,” ujar beliau.

Terdahulu, Sistem OSC 4.0 PPj beroperasi sepenuhnya pada 2 Ogos 2022 lalu dan dijangka akan dilancarkan pada 5 Mac 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena Putrajaya Open Day (POD) 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas