Berita

MCMC berjaya rangkul enam anugerah EXA 2023, bukti kecemerlangan pekerja

PEMENANG anugerah merakam gambar kenangan sejurus majlis.
- Diterbit 6 September 2023 2:00 AM MYT

PEKERJA merupakan individu yang tidak hanya berkhidmat semata-mata kepada syarikat tetapi seorang yang hebat dalam menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberi dengan sebaiknya.

Malah, mereka ini juga merupakan tulang belakang sesebuah organisasi yang mampu memacu syarikat ke arah kecemerlangan. Justeru itu, pengorbanan dan jasa mereka haruslah dihargai dengan sebaiknya.

Organisasi kerajaan mahupun swasta, mempunyai pelbagai anugerah yang meraikan organisasi mahupun kakitangan cemerlang bagi menyuntik semangat kepada golongan pekerja untuk lebih berdedikasi di masa hadapan.

Pekerja cemerlang pacu produktiviti hebat

SURUHANJAYA Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya merangkul enam pencapaian iaitu Employee Experience Awards (EXA) 2023 (Anugerah Pengalaman Pekerja) yang dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia.

Antaranya adalah anugerah emas bagi kategori Best Holistic Leadership Development Strategy and Most Sustainable & Inovative Office Design (Strategi Pembangunan Kepimpinan Holistik Terbaik dan Reka Bentuk Pejabat Paling Mampan dan Inovatif).

Dalam satu kenyataan MCMC berkata, pihaknya telah disenarai pendek bagi 11 kategori bersama beberapa syarikat lain seperti Nexperia Malaysia, Shell, Maxis, Allianz Malaysia, OCBC Bank dan lain-lain.

“Menerusi anugerah emas yang dirangkul, ia mempamerkan komitmen kami untuk memupuk bakat kepimpinan dan mewujudkan ruang kerja yang mampan dan canggih.

“Strategi pembangunan kepimpinan yang dilaksanakan oleh MCMC bukan sahaja mengenal pasti dan mengasah potensi kepimpinan tetapi juga memupuk budaya pertumbuhan dan inovasi yang berterusan,” jelasnya.

Bagi anugerah pingat perak pula, MCMC berjaya merangkul kejayaan dalam kategori Best Employer Branding (Penjenamaan Majikan Terbaik).

“Ia menunjukkan usaha pihak MCMC dalam mencipta jenama majikan terbaik yang terdiri daripada naratif menarik antara majikan dan pekerja yang berpotensi.

BARISAN penerima Anugerah EXA 2023.

Sementara itu bagi anugerah gangsa, MCMC menerima pengiktirafan dalam kategori Best In-house Learning Academy (Akademi Pembelajaran Dalaman Terbaik), Best Remote Work Strategy (Strategi Kerja Terbaik) dan Best Management Training Programme (Program Latihan Pengurusan Terbaik).

“Ini menunjukkan kecemerlangan kami melabur dalam pembangunan pekerja dan menyesuaikan diri dengan landskap kerja yang berkembang serta memupuk bakat kepimpinan dan kumpulan yang berkemahiran serta berkebolehan untuk MCMC,” ujarnya.

Jelas MCMC lagi, pencapaian tersebut adalah bukti dedikasi mereka untuk memupuk bakat, inovasi dan mewujudkan tempat kerja yang merangsang pekerja untuk berkembang maju.

“Ini adalah gambaran usaha MCMC yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai kecemerlangan, menetapkan standard yang tinggi untuk industri serta memberi inspirasi kepada orang lain.

“Pengiktirafan ini juga menjadi tonggak dalam laluan kami untuk bertahan demi merangkul kejayaan serta kami komited untuk terus berkembang maju bagi mencapai kecemerlangan,” katanya.

Terdahulu, anugerah yang dianjurkan Bahagian Sumber Manusia bertujuan untuk memberi penghormatan kepada organisasi yang cemerlang dalam memfokuskan pengalaman pekerja untuk membantu mengekalkan individu terbaik, mencipta nilai dan kelebihan daya saing semasa mereka bekerja. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas