Berita

Masih ramai pengamal media sambilan tiada perlindungan keselamatan sosial

- Diterbit 1 Mac 2024 4:45 PM MYT

MASIH ramai dalam kalangan pengamal media sambilan dan mereka yang bekerja sendiri didapati tidak mempunyai perlindungan keselamatan sosial, kata Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Mohamad Haron Othman.

Beliau berkata keadaan itu antara lain disebabkan kurang kesedaran tentang kepentingan untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial selain faktor kurang kemampuan.

“Ada yang berkemampuan, namun berfikiran perlindungan ini tidak penting, jadi kami (Perkeso) sedang menolong mereka supaya apabila berlaku bencana, mereka atau keluarga mempunyai nafkah untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘Apa Khabar Malaysia’ bertajuk ‘Perkeso untuk Pengamal Media dan Kreatif Sambilan’ terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mohamad Haron berkata bagi pengamal media sambilan, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Sumber Manusia bersama Perkeso telah menyediakan perlindungan kebajikan menyeluruh menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Beliau berkata mereka hanya mencarum sebanyak RM23 setahun atau 10 peratus daripada kadar caruman asal, manakala 90 peratus lagi dibayar oleh kerajaan bagi membolehkan dilindungi.

Skim SKSPS berkenaan, katanya menawarkan lapan faedah kepada pencarum yang terdiri daripada perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, pinjaman pendidikan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.

Dalam pada itu, Mohamad Haron turut berterima kasih kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi pengamal media dan giat mencari penyelesaiannya.

Selain itu, Perkeso juga giat mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam industri kreatif bagi menguar-uarkan kepentingan caruman berkenaan.

“Kita juga akan memeterai beberapa MoU (perjanjian persefahaman) dengan agensi di bawah Kementerian Komunikasi antaranya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas