Berita

Ambil langkah pencegahan ketika cuaca panas di bulan Ramadan

- Diterbit 1 Mac 2024 4:57 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) ingin mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan ketika cuaca panas terutamanya di bulan Ramadan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata antara langkah seperti rancang aktiviti bulan Ramadan atau di luar rumah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Tambah Muhammad Radzi, kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

“Selain itu, kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat; dan golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

“Langkah lain seperti, awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas; elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap serta hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.

“orang ramai juga boleh mengambil langkah pencegahan dengan hadkan tempoh berada di luar bangunan; gunakan kipas, penyaman udara atau kerap mandi untuk menyejukkan badan.

“Selain itu, elakkan berada di kenderaan tertutup ketika penyaman udara tidak dihidupkan semasa cuaca panas dan dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Radzi, KKM ingin merujuk kepada siaran media Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 13 Februari lalu berkaitan cuaca panas dalam tempoh penghujung Monsun Timur Laut 2023/2024, litupan awan dan taburan hujan adalah kurang di kebanyakan tempat terutamanya di Perak, Pahang dan Kelantan.

Jelasnya, keadaan itu boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

“Pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan dan rasa mual. Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan koma,” ujarnya.

Muhammad Radzi memberitahu, pemantauan yang dilakukan oleh KKM dari Minggu Epid (ME) 1 tahun 2024 hingga ME 9 pada tahun yang sama mendapati jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan haba adalah 13 kes iaitu Perak (7), Kedah (5) dan Sabah (1).

“Pecahan kes mengikut diagnosis adalah empat strok haba, sembilan kelesuan haba dan tiada kejang haba. Kesemua kes adalah disebabkan oleh aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik.

“Terdapat satu kes strok haba dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa, Hospital Sultanah Maliham Langkawi, Kedah. Manakala 11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas