Berita

Jangan guna agama untuk capai hasrat politik- Zahid Hamidi

Kredit foto: Facebook Zahid Hamidi
- Diterbit 1 Mac 2024 4:22 PM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin politik agar tidak menjadikan isu agama Islam untuk mencapai hasrat politik.

Jelas Ahmad Zahid, oleh kerana perkara melibatkan agama Islam terutama melibatkan soal hukum dan fatwa, pemimpin-pemimpin politik harus menjadikan ia sebagai batu sepadan untuk memberikan pandangan dan pendapat.

“Saya tidak perlu nasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latarbelakang agama untuk mengemukakan alasan itu, tetapi jangan menggunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Bergerak JAWI 2.0 di Masjid Putra hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ahmad Zahid berkata beliau amat menghargai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang beliau anggap sebagai amaran bukan untuk seseorang individu sahaja tetapi untuk pemimpin-pemimpin partinya.

“Titah itu turut melibatkan pemimpin-pemimpin mana-mana parti termasuk UMNO supaya tidak melakukan masalah yang sama,” ujarnya.

Sebelum ini, Sultan Sharuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) telah mengutuskan warkah dialamatkan kepada Ahli Dewan Negeri Paya Jaras yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri yang menegur Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan hantaran di laman facebook yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” dengan mengingatkan bahawa Islam adalah keutamaan dan memberi peringatan untuk menjaga akidah masing-masing.

Ia dipercayai diterbitkan berikutan keputusan titah Baginda selepas mempengurusikan mesyuarat MKI yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Menerusi laman facebook rasmi Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.

“Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda, titah Sultan Selangor, pada Khamis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas