Berita

Malaysia tolak tawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026

- Diterbit 22 Mac 2024 3:17 PM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

KBS memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah, yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 5 Februari lepas.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut KBS, impak kepada ekonomi juga tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini.

“Kerajaan MADANI mengucapkan terima kasih keada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026, namun ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas