Berita

Malaysia sertai ATF 2024 di Laos, promosi ekopelancongan

- Diterbit 24 Januari 2024 8:10 PM MYT

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Ke-27 dan Mesyuarat Pelancongan ASEAN Campur Tiga Ke-44 di Laos, hari ini.

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata majlis perasmian Forum Pelancongan ASEAN 2024 (ATF 2024) disempurnakan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Hotel Don Chan Palace, Daerah Sisattanak, Vientiane.

ATF 2024 merangkumi dua acara serentak, iaitu mesyuarat Menteri dan Dua Hala di Landmark Hotel, manakala acara Travel Exchange (TRAVEX) berlangsung di Dewan Pameran Lao International Trade Exhibition and Convention Centre (Lao ITECC) yang berfungsi sebagai platform untuk pembekal produk dan perkhidmatan pelancongan ASEAN, di samping pembeli yang berkelayakan dari seluruh dunia.

Bagi TRAVEX, Malaysia akan menampilkan eko-pelancongan dan tarikan mampan, selaras dengan kewujudan bandar-bandar moden yang ditawarkan oleh pelancongan Malaysia, termasuk barangan kraf tangan tradisional Malaysia oleh KARYANAEKA.

Tiong dalam kenyataan sama berkata Malaysia mengucapkan tahniah kepada Laos kerana berjaya menganjurkan ATF2024.

“Kami harap pertemuan dan pameran pelancongan ini akan membantu dalam meningkatkan perniagaan pelancongan ASEAN dan persefahaman dua hala di peringkat tertinggi,” katanya.

Turut sama dalam delegasi Malaysia ialah wakil dari Pelancongan Perak, Pelancongan Melaka dan Pelancongan Johor, pihak media dan beberapa pemain industri pelancongan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas