Berita

Malaysia, Maldives bincang kerjasama dalam sektor perubatan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 21 Mac 2024 9:55 PM MYT

MALAYSIA dan Maldives  sedang melihat untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor perubatan dan bidang utama ekonomi.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Maldives Badli Hisham Adam melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan Maldives   Abdulla Khaleel dan membincangkan topik seperti latihan perubatan dan meluaskan penerimaan skim insurans kesihatan sosial Maldives, Aasandha untuk menampung kos rawatan hospital bagi rakyat Maldives di Malaysia.

“Pertemuan ini merupakan langkah penting ke arah meningkatkan kolaborasi dalam penjagaan kesihatan di kedua-dua negara dan meningkatkan kesejahteraan komuniti kita, kata Badli Hisham yang juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo dalam hantaran di media sosial pada Khamis berkata Badli Hisham juga mengadakan perjumpaan dengan Pengarah Urusan Aasandha Company Limited Aminath Zeeniya.

Antara libat urus Pesuruhjaya Tinggi itu di Maldives pada minggu ini termasuk menjadi tuan rumah kepada satu majlis berbuka puasa dengan Menteri Kabinet di sana dan mengadakan  mesyuarat dengan Menteri Luar Moosa Zameer.

Badli Hisham juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Mohamed Saeed.

“Perbincangan itu membuahkan hasil, meliputi bidang penting seperti Ekosistem Halal Malaysia, satu komitmen kepada produk mampan dan strategi untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Maldives,” kata Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu.

Badli Hisham dan Menteri Pertanian dan Kebajikan Haiwan Mariyam Vishama Ahmed membincangkan amalan terbaik dalam pertanian dengan penumpuan kepada penanaman kelapa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas