Berita

Oktovia Manrose jadi penyanyi, kolaborasi bersama Bimasakti

- Diterbit 10 Mac 2021 8:20 AM MYT

SEBELUM ini sudah ramai pelakon berani menonjolkan bakat nyanyian mereka seperti Zara Zya, Nazim Othman, Achey, Hairul Azreen, This Zaqyah dan ramai lagi.

Kini tiba giliran pelakon Oktovia Manrose membuktikan bakat nyanyiannya apabila muncul dengan lagu berjudul Biar Aku Simpan bersama kumpulan rock alternatif, Bimasakti.
Lagu Biar Aku Simpan yang diterbitkan oleh Life Records ini dilancarkan pada 5 Mac baru-baru ini.

“Ikutkan menyanyi memang minat saya sejak sekian lama. Saya sedar ada bakat ke arah itu, cuma perlu diasah. Dulu pun sebenarnya ada peluang menyanyi, cuma saya tak nak terburu buru.

“Saya sendiri rasa belum cukup bersedia. Saya tak mahu menyanyi macam melepaskan batuk di tangga. Biarlah ada ilmu atau serap pengalaman orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa.

“Menerusi projek kolaborasi dengan kumpulan Bimasakti pun saya banyak timba pengalaman dan belajar teknik tertentu fasal muzik.

“Saya anggap kolaborasi dengan kumpulan ini sebagai pemanas enjin. Selepas ini baru yakin sedikit nak menyanyi solo,” jelas Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman.

Oktovia juga berterima kasih kepada salah seorang anggota Bima Sakti yang dipanggil Jim kerana membuka peluang kepadanya untuk menyanyi dan merakamkan lagu sekitar enam bulan lalu.

“Mulanya tak sangka dia tawarkan peluang ini. Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai artis seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

“Saya sendiri pun selalu merakamkan lagu demo untuknya. Cuma lamaran untuk membuat penampilan lagu itu, saya sahut dengan optimis. Saya sendiri menyukai bahagian korus lagu itu yang sangat melankolik,” katanya yang juga ibu tunggal kepada Muhammad Rayyan Zafariel.

Oktovia yang juga artis bawah pengurusan Absolut Talent & Management ini berharap peminat sudi mendengar lagu Biar Aku Simpan dan bersedia menerima kritikan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas