Berita

MAIWP salur RM1 juta buat misi bantuan banjir

MAIWP menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta kepada YWP bagi membantu mangsa banjir.
- Diterbit 23 Disember 2021 4:15 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan berjumlah RM1 juta kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) selaku badan penyelaras misi bantuan banjir bagi membantu komuniti terjejas ekoran kenaikan air secara mendadak.

Dalam satu kenyataan MAIWP memaklumkan inisiatif ini adalah tanda pihaknya peka dan prihatin terhadap komuniti terkesan akibat banjir tidak dijangka susulan hujan lebat berterusan sejak 18 Disember lalu di sekitar Wilayah Persekutuan. 

“Paras air yang naik secara mendadak menyebabkan ramai mangsa yang tidak bersedia telah terperangkap di dalam kediaman mereka malah ada yang terpaksa meninggalkan kenderaan di jalan raya akibat air sudah mula melimpah. 

“Sehingga kini, sebanyak 12 kawasan di Kuala Lumpur terkesan akibat musibah banjir dengan anggaran 500 orang mangsa banjir telah dipindahkan ke empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” jelas kenyataan tersebut. 

Sementara itu, MAIWP memberitahu pihaknya turut menawarkan Bantuan Musibah kepada mereka yang terlibat bencana alam seperti ribut, tanah runtuh, kebakaran dan lain-lain.

“Bantuan akan disalurkan sebanyak maksimum RM1,000 kepada penerima,” tambah MAIWP. 

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengurus Bahagian Baitulmal, Ahmad Talmizi Yahaya.

Replika cek simbolik penyerahan sumbangan disampaikan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas