Berita

DBKL tawar rumah ganti, pengecualian sewa kepada mangsa

MOHD Zulkifli antara tujuh ketua keluarga yang menerima surat rumah ganti oleh DBKL, semalam.
- Diterbit 23 Disember 2021 4:22 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan pengecualian tiga bulan pengecualian sewa rumah kepada lapan mangsa kebakaran Perumahan Awam (PA) Sri Johor.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin berkata, kesemua mangsa terlibat ditawarkan menduduki dua PA yang berdekatan bagi membantu golongan ini membina semula kehidupan selepas bencana.

“Seramai tujuh ketua keluarga ditawarkan rumah ganti di PA Seri Johor 4AB manakala seorang lagi ditempat di PA Seri Sabah 3B, Cheras.

“Sekiranya mereka mula duduk pada Januari, bayaran sewa akan dikenakan pada bulan April nanti dan ini adalah bagi mengurangkan beban mangsa yang tinggal sehelai sepinggang,

“Sumbangan wang tunai dari Tabung Bencana Alam DBKL sejumlah turut di berikan kepada setiap keluarga berjumlah RM500,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan surat tawaran di Dewan Merdeka, PA Seri Johor 4B pada Rabu.

Ismadi berkata, buat masa ini, mangsa yang terlibat ditempatkan sementara di Dewan Merdeka di Blok 29, PA Seri Johor 4B .

“Ada dalam kalangan yang menumpang sementara di kediaman saudara-mara mereka sementara menuggu tawaran,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mohd Zulkifli M Sani, 60, bersyukur dengan tindakan pantas daripada pihak DBKL dalam membantu mendapatkan rumah ganti kepadanya.

Beliau yang juga warga emas berkata, tindakan segera ini amat memudahkan urusan mangsa sepertinya memandangkan memerlukan kos yang banyak sekiranya berpindah ke kawasan lain.

“Kebiasaannya proses seperti ini mengambil masa dalam seminggu sehingga sebulan namun DBKL usahakan dalam tempoh empat hari sahaja.

“Wang pendahuluan juga dibayarkan oleh pihak yang lain jadi saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan,” katanya yang bakal memasuki rumah ganti dalam minggu ini.

Terdahulu, kira-kira lapan unit PA Seri Johor hangus dijilat api dalam satu insiden kebakaran yang dikatakan berpunca daripada kebocoran gas pada Ahad menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas