Berita

PUF: Manfaatkan setiap inci tanah

PUF merupakan inisiatif bagi membantu isi rumah di Putrajaya.
- Diterbit 10 Oktober 2020 2:00 AM MYT

BERBUDI kepada tanah biarpun secara kecil-kecilan pasti mendatangkan hasil yang berbaloi. Lebih-lebih lagi apabila tiba masanya untuk menuai hasil dan seterusnya dijual.

Tidak kisahlah tanaman apa sekalipun, selagi mana ia berhasil maka banyak keistimewaan yang diperoleh termasuklah mampu dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

Dalam situasi ekonomi yang mencabar ini, kita perlu sentiasa kreatif dan kritis untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus mencari inisiatif untuk kelangsungan hari esok.

Tidak dinafikan, pelbagai usaha dilakukan pihak berwajib untuk membantu meringankan beban masyarakat setempat. Perbadanan Putrajaya (PPj) misalnya tampil dengan idea mewujudkan Program Pertanian Bandar Putrajaya (PUF) di bawah program Local Agenda Abad ke 21 (LA21).

Ia merupakan perkongsian pintar PPj bersama Institut Penyelidikan, Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian dan komuniti setempat Putrajaya.

Menariknya, usahasama yang dijalankan memanfaatkan tanah-tanah kosong yang terbiar di sekitar Putrajaya dengan penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang akhirnya memberi pulangan kepada penduduk.

Tingkat ekonomi komuniti Putrajaya

PERTANIAN Bandar Putrajaya (PUF) merupakan inisiatif bagi membantu isi rumah di Putrajaya meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan.

Mula diusahakan sejak tahun 2006 melalui Program Bumi Hijau, PUF merupakan antara usaha ke arah Putrajaya Mampan tahun 2025 melalui empat teras iaitu penyertaan (participation) keterlibatan (engagement) dan pemerkasaan (empowerment).

TENGKU AINA

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), Tengku Aina Tengku Ismail Shah, terdapat dua kategori PUF iaitu PUF moden atau berteknologi tinggi (empat kebun) dan PUF tradisi atau konvensional yang melibatkan enam kebun.

“Ciri utama kebun pertanian moden atau berteknologi tinggi ialah dengan pengenalan sistem rumah lindungan hujan dan sistem pembajaan fertigasi yang menghasilkan produk moden seperti rock melon, cili, salad dan beberapa jenis lagi sayuran daun yang setara.

“Sementara enam unit PUF tradisi atau konvensional berterusan menghasilkan produkproduk tradisi pertanian seperti serai, lengkuas, bunga kantan, herba dan seumpamanya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Pun begitu, kesemuanya masih lagi terhad kepada memenuhi keperluan dalaman penduduk Putrajaya sahaja. Namun, pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan untuk menambah baik penggunaan teknologi perkebunan bagi tujuan mengoptimakan produk dan faedah dari PUF.

Bercerita lanjut tentang pelaksanaan pada peringkat awalnya, sebanyak dua buah rumah lindungan hujan beserta sistem fertigasi telah dibina di Kebun Komuniti 1 (KK1) di Jalan P9G, Presint 9 dan Kebun Komuniti 2 (KK2) di Apartmen Fasa 4A, Presint 8, Putrajaya.

“Kemudian, ia diikuti dengan pembinaan dua unit lagi rumah lindungan hujan di Kebun Komuniti 3 (KK3), Putra Harmoni, Presint 9 dan Kebun Komuniti 4 (KK4) di Taman Kejiranan Presint 14 melalui geran khas Kementerian Wilayah Persekutuan.

ROCK MELON disemai di empat kawasan dalam kebun komuniti Putrajaya.

“Pelaksanaan tambahan ini adalah bukti usaha berterusan komuniti dalam menjayakan program ini,” ungkapnya lagi.

Selain memberi impak kepada taraf ekonomi penduduk serta menyokong aktiviti pengeluaran makanan oleh komuniti, PUF juga turut meningkatkan integrasi sosial, kesihatan fizikal dan kesejahteraan kejiranan melalui pertanian berinovasi.

“Kita dapat menggunapakai kawasan yang belum dibangunkan secara optima dalam mewujudkan persekitaran bandar sihat, sebagai produk pelancongan dan pendidikan serta menyokong dasar keselamatan pemakanan dalam persediaan komuniti menangani perubahan cuaca,” katanya.

Tambah Tengku Aina, program yang diperkenalkan itu bertujuan menangani isu pencerobohan tanah kerajaan dan penularan wabak denggi di Putrajaya.

BUKA PELUANG

Bagi mengembangkan maklumat pertanian, PPj turut membuka ruang untuk kunjungan daripada pihak luar seperti pengurusan-pengurusan tertinggi agensi, pihak-pihak berkuasa tempatan, korporat, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah mahupun kanak-kanak peringkat tadika.

MINI fertigasi yang disediakan khusus untuk individu yang sibuk bekerja.

Menurut Tengku Aina lagi, melalui kunjugan tersebut, kesemua pengetahuan serta maklumat pertanian bandar dapat dikongsikan bersama.

“PPj juga sentiasa membuka ruang dan peluang kepada para pesertanya untuk menimba ilmu serta meningkatkan pengetahuan melalui beberapa siri kursus atau latihan secara teori mahupun dilapangan.

“Beberapa siri lawatan ke agensi luar, tapak-tapak pertanian bandar juga turut diatur untuk dilawati oleh peserta sebagai dorongan bagi mereka meneruskan program ini secara lebih teratur dan sistematik,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas