Berita

Mahu rentas negeri wajib ada surat kebenaran polis

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 18 April 2020 7:08 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai yang ingin merentas negeri termasuk menggunakan laluan udara dan laut perlu mempunyai surat kebenaran daripada pihak polis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, mengikut akta tersebut adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana individu bergerak lebih daripada 10 kilometer.

“Prosedur standard operasi (SOP) adalah sama dengan jalan darat dan tidak kira menaiki apa sahaja.

“Pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan untuk kes-kes kecemasan sahaja seperti keluarga sakit dan sebagainya yang perlu disegerakan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Pengangkutan telah memaklumkan tiada penerbangan domestik dalam Semenanjung Malaysia yang beroperasi ketika ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan terdapat penerbangan ke Sabah dan Sarawak hanya dilaksanakan sekali seminggu.

“Sesiapa sahaja yang pulang ke Sabah dan Sarawak akan dikuarantin di negeri tersebut.

“Justeru, tiada timbul isu status kesihatan mereka kerana mereka tetap dikuarantin wajib,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas