Berita

Hafizh Syahrin lega KBS lulus dana sokongan

||HAFIDZ SYAHRIN|
- Diterbit 17 April 2020 4:23 PM MYT

KUALA LUMPUR – Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah atau lebih dikenali sebagai El Pescao berasa lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan dana sokongan bagi menyokong kerjayanya.

Dana yang akan disalurkan dalam masa terdekat melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran negara itu akan membantu menampung kos perlumbaannya bagi tahun 2020.

HAFIZH SYAHRIN

Menurut Hafizh, bantuan tersebut sedikit sebanyak menaikkan motivasi dirinya untuk lebih fokus apabila perlumbaan bersambung selepas wabak Covid-19 selesai.

“Alhamdulillah, saya sudah bercakap dan mengucapkan terima kasih kepada pihak KBS. Insya-Allah dalam masa terdekat KBS akan salurkan dana menerusi SIC.

“Sekarang saya boleh terus kekal fokus menjalani latihan ringan di rumah terlebih dahulu. Berita ini membuatkan saya tidak perlu lagi risau memikirkan soal kewangan,” ujarnya.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan tersebut merupakan satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan pihaknya dalam pembangunan sukan yang mampu mengharumkan nama negara.

Selepas dua musim dalam kategori MotoGP, pelumba berusia 26 tahun ini kembali semula ke Moto2 musim ini bersama pasukan baharu, Aspar Team yang berpangkalan di Sepanyol. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas